Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan cenderamata kepada Naib Presiden Wolfsburg, Andreas Kruse ketika sesi serah surat tawaran percubaan pasukan bola sepak VFL Wolfsburg di Jerman selama enam minggu kepada Qaseh Rania Khairul Najib,14 di Bangunan Darul Ehsan pada 27 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Qaseh Rania tekad kerja keras di Wolfsburg, sasar wakili pasukan negara

SHAH ALAM, 27 JUN: Pemain bola sepak wanita tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Qaseh Rania Khairul Najib tekad membuktikan kemampuannya di Jerman apabila menerima tawaran jalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg.

Qaseh Rania, 14, berharap peluang bersama gergasi bola sepak wanita itu membuka jalan untuknya menempatkan diri beraksi bersama pasukan negara.

“Saya bersyukur dan gembira menerima tawaran untuk menjalani latihan di Jerman kerana sudah bekerja keras selama 10 tahun dan ingin berusaha bersungguh-sungguh di Wolfsburg.

“Motivasi saya berada pada tahap tertinggi untuk bersaing dengan pemain berkelas dunia walaupun bukan mudah,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat tawaran dari Wolfsburg di pejabat MBI, di sini hari ini.

Menghitung dua bulan lagi sebelum terbang ke negara Eropah berkenaan, Qaseh Rania berkongsi sedang berusaha mempelajari bahasa Jerman untuk memudahkan komunikasi, selain membuat kajian untuk menjalani kehidupan baharu di Wolfsburg.

“Secara peribadi, saya ingin membanggakan ayah di Wolfsburg yang telah banyak berkorban dan berjasa membantu bangunkan bakat dengan melatih dan menjaga pemakanan sepanjang bermain bola sepak,” kongsinya.

Sementara itu, Naib Presiden VFL Wolfsburg Andreas Kruse mendedahkan bakat dan kemahiran tinggi dimiliki Qaseh Rania menarik minat kelab menawarkan sesi percubaan setelah menonton video perlawanan pemain remaja itu.

Beliau memaklumkan Qaseh Rania akan diberi pendedahan berlatih bersama pemain terbaik kelab yang dibimbing jurulatih pasukan dengan penggunaan fasiliti bertaraf dunia.

Naib Presiden Wolfsburg, Andreas Kruse ketika sesi serah surat tawaran percubaan pasukan bola sepak VFL Wolfsburg di Jerman selama enam minggu kepada Qaseh Rania Khairul Najib,14 di Bangunan Darul Ehsan pada 27 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kami juga akan bantu Qaseh Rania menyesuaikan kehidupan baharu di Jerman sepanjang tempoh percubaan. Beliau akan belajar adaptasi dengan cuaca, bahasa, makanan dan budaya di sana.

“Jika prestasi beliau dapat memikat hati kami, kelab akan pertimbang lanjut tempoh percubaan untuk membolehkan pembangunan bakatnya berterusan,” jelasnya.

Untuk rekod, pemain muda yang bermain sebagai posisi penyerang tengah itu pernah meraih anugerah Pemain Muda Terbaik bagi saingan Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 2023 ketika beraksi bersama pasukan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) FC.

Ketika berusia 13 tahun, video pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong tersebut menjaringkan gol menerusi satu sepakan percuma menjadi tular di media sosial dan menjadi bualan orang ramai apatah lagi dia bermain bersama pasukan lelaki ketika itu.

Qaseh Rania Khairul Najib,14 ketika sesi serah surat tawaran percubaan pasukan bola sepak VFL Wolfsburg di Jerman selama enam minggu kepada beliau di Bangunan Darul Ehsan pada 27 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :