Pelanggan membeli telur ayam omega yang terdapat di pasaran ketika tinjauan di sebuah pasar raya di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 29 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat gembira harga telur ayam turun, pengusaha akui terkejut

SHAH ALAM, 18 JUN: Langkah kerajaan menurunkan harga runcit telur ayam sebanyak tiga sen sebiji bermula semalam, membantu rakyat khususnya pasangan memiliki bilangan anak ramai.

Meskipun nilai tersebut dilihat rendah, kakitangan kerajaan Siti Wahida Abd Wahab, 37, berkata jumlah itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan buat keluarganya.

“Memanglah hanya tiga sen sebiji tetapi kalau 30 biji sudah jadi 90 sen. Bagi keluarga besar seperti saya ia membantu juga kerana kebiasaannya memang kami beli telur dalam kapasiti banyak.

Siti Wahida Abd Wahab, 37

“Anak-anak pun sedang membesar, jadi telur ayam memang makanan asas kami sekeluarga. Harap harga barangan lain juga dapat turun selepas ini,” kata ibu empat anak itu kepada Selangorkini.

Bagi pengusaha telur ayam, Zulian Safrine Zulkefale, 40, mengakui agak terkejut dengan pengumuman harga barangan itu berikutan masih mempunyai jumlah stok yang agak banyak.

Jelasnya, dia tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak berhubung penurunan harga tersebut selain menjangka keuntungan perniagannya akan menurun, namun terkawal.

“Terkejut juga harga telur ayam turun tiba-tiba. Kita sudah ambil stok minggu lepas, jadi perlu jual harga semasa atau harga sebelum ini? Ada pembeli faham, saya amat bersyukur.

“Saya jangka keuntungan akan sedikit menurun dalam 20 peratus. Tetapi Insya-Allah masih boleh tampung kos operasi perniagaan,” katanya yang menjual 1,000 papan telur seminggu.

Sementara itu, peniaga makanan, Firuz Idris, 30, berkata penurunan harga runcit telur mungkin tidak memberi kesan kepada harga jualan makanan siap masak di gerai kendaliannya.

Menurutnya, kos keseluruhan yang perlu ditampung masih tinggi berikutan harga pasaran ayam bulat dan sayur yang tidak menentu setiap hari.

Firuz Idris, 30

“Sejujurnya penurunan harga runcit telur ayam tidak beri kesan kepada harga jualan kerana harga kos pun tidak jauh beza. Banyak barang sudah naik harga seperti ayam dan sayur kobis,” katanya.

Perdana menteri semalam mengumumkan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan tiga sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penampungan subsidi sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam melibatkan perbelanjaan RM100 juta berbanding RM927 juta pada tahun lalu.

Harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa semalam.

 


Pengarang :