Ekspo Hartanah Malaysia Shah Alam/Kuala Selangor 2022 berlangsung dari 11 hingga 14 Ogos 2022 di Central i-City, Shah Alam. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ratusan ribu rumah dikecuali cukai pintu, penduduk B40 nikmati kemudahan

Walau semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) bercadang menaikkan cukai taksiran, namun lebih ratusan ribu unit hartanah jenis kos rendah dan rumah kampung di seluruh negeri dikecualikan bayaran ini.

Diperkenalkan sejak 2016, dasar pengecualian ini bertujuan membantu warga berpendapatan rendah.

Satu daripada kira-kira 50 program kebajikan Iltizam Selangor Penyayang, dasar ini menelan kos RM500 juta.

Menurut Laporan Pencapaian dan Prestasi Kerajaan Negeri Selangor 2018-2023, pengecualian cukai memberi manfaat kepada lebih 2.5 juta pemilik kediaman kos rendah dan rumah kampung.

Selepas pilihan raya umum negeri pada Ogos tahun lepas, Kerajaan Negeri mengumumkan pengecualian cukai taksiran kepada 426,656 rumah kos rendah dan kampung dengan implikasi kewangan RM29.415 juta.

Pengecualian ini untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

Ia ditunaikan dalam tempoh 100 hari pentadbiran baharu sebagai sebahagian janji dalam manifesto Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Bantuan secara bersasar ini diharap meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Oktober lalu.

Selain pengecualian cukai taksiran, Kerajaan Negeri juga menaikkan elaun imam, bilal dan siak serta memberi insentif pertanian dan perikanan kepada 500 pesawah dan nelayan.

Bagaimanapun mulai tahun ini, pengecualian cukai taksiran tidak secara automatik bagi rumah kampung demi memastikan mereka yang layak sahaja menerima manfaatnya.

Penerima bantuan ini mestilah memiliki rumah kampung seluas 2,000 kaki persegi dan berpendapatan isi rumah tidak lebih RM5,000 sebulan. Seorang penduduk layak dikecualikan cukai bagi satu unit rumah sahaja.

Pada tahun 2023, dasar pengecualian cukai membantu 100,000 pemilik rumah kampung dengan nilai taksiran RM11.551 juta. Dalam tempoh lapan tahun sejak diperkenalkan, ia melibatkan 745,790 unit kediaman dan peruntukan RM91.498 juta.

Namun rumah ibadat, sekolah dan premis awam yang bukan bermotif keuntungan pula menerima pengecualian cukai.

 

Ada penduduk yang membantah jumlah kenaikan cukai taksiran

Namun ada juga yang menyambut baik cadangan itu bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri terus memberi pengecualian cukai kepada rumah kampung, kediaman kos rendah, pusat ibadat, sekolah dan tempat awam bukan untuk keuntungan.

Susulan isu kenaikan ini, wartawan Selangorkini NORRASYIDAH ARSHAD dan FITRI HAZIM HAZAM mendapat reaksi penduduk negeri ini pada 14 Jun.

 

Najmi Harith,
penduduk Seksyen 30, Shah Alam

“Jika dilihat pada kenaikan ini, ia hanya melibatkan inflasi tahunan sekitar tiga ke empat peratus sahaja dan kadar maksimum 25 peratus.

“Ini wajar kerana kali terakhir cukai (Majlis Bandaraya Shah Alam) naik pada 2006 dan ia tidak membebankan.”

 

Ahmad Danish Hairuddin, Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya, Zon 14

“Kos mengurus sampah, pembersihan dan selenggara rumput menelan belanja tinggi.

“Ini beri kesan untuk infrastruktur awam lain seperti padang permainan.

“Kita tidak dapat selenggara tetapi rakyat mahukan padang yang elok.

“Jadi kita perlukan dana tambahan untuk penuhi keperluan penduduk. Sekarang penduduk pun mahu pelbagai kemudahan dan kita cuba penuhi.”

 

“(Cukai) ini untuk kegunaan rakyat juga. Saya suka membaca, memantau dan mendalami. Jika dibandingkan, cukai kita antara yang terendah.

“Cuma kita minta jangan dinaikkan terlalu mendadak kerana ia mungkin memberi kesan kepada golongan lain.”

Bunyamin Omar dari Taman Lake Vista Puchong, Subang Jaya

 

Jafri Md Amin, Nazir Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah
Batu 14, Hulu Langat

“Alhamdulillah, pengecualian cukai taksiran meringankan beban kewangan masjid yang beroperasi hasil sumbangan orang ramai.”

 

Pengecualian cukai taksiran menunjukkan Kerajaan Negeri prihatin dan memahami komitmen perbelanjaan rumah ibadat seperti masjid adalah tinggi.”

Amir Shah Noordin, nazir Masjid Ubudiah Kampung Sungai Raya Besi, Hulu Langat

 

Amir Shah Noordin, Nazir Masjid Ubudiah Kampung Sungai Raya Besi, Hulu Langat

“Pengecualian beri ruang buat masjid memberi tumpuan kepada pelaksanaan program yang membawa kebaikan kepada jemaah seperti ceramah perdana, kuliah dan majlis ilmu.”


Pengarang :