Melabuhkan tirai pada 2 Jun setelah lapan hari membedah pemikiran ulama besar Imam an-Nawawi, Festival Turath Islami Selangor (FTIS) kali kedua mendapat sambutan hangat luar biasa.
Berbanding acara sulung selama enam hari bermula 20 Mei, festival tahun ini ditambah baik dengan syarahan lengkap Hadis 40, pameran manuskrip Islam di alam Melayu dan juga majlis selawat.
Ribuan menadah kitab di depan bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab selama lima hari bermula 26 Mei di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/05/t1-2-500x333.jpg.webp)
Acara mengkhatam kitab ulama itu dan pengijazahan sanad menarik lebih ramai peserta khususnya siswa, pelajar pondok dan warga emas menghadiri program yang berakhir pada malam 30 Mei.
Peserta termasuk dari Indonesia, China dan Mesir bersyukur dapat menghayati pelbagai majlis menarik khususnya mendalami mutiara ilmu Yahya Sharaf an-Nawawi, tokoh besar fiqah mazhab Syafie.
“Sambutan kali ini lebih baik dan menggalakkan berbanding tahun lalu. Kelebihan ini antaranya, ketika perancangan, festival dianjur pada cuti sekolah,” kata Pengerusi Sekretariat FTIS Ammar Gazali.
“Tahun lepas kita buat semasa hari bekerja. (Tahun ini) ibu bapa termasuk dari luar Selangor membawa anak-anak hadir pengajian dan pameran. Jadi penganjuran pada cuti sekolah adalah faktor tepat.”
Tahun lalu Dr Ali Jum’ah, ulama terkenal Universiti al-Azhar, menghurai pemikiran Imam al-Ghazali dan kitabnya Ihya Ulumuddin. Prof Dr Said Aqil Siradj (Indonesia), Baba Ghazali Ahmad (Thailand) dan Prof Emeritus Dato Dr Osman Bakar (Malaysia) turut mengukuhkan lagi huraian kitab ulama itu.
Selain mereka, tokoh lain yang diminati peserta tahun ini termasuk Dr Adi Hidayat (Indonesia), Habib Jindan Novel Salim Jindan (Indonesia) dan Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid (Malaysia).
Dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Jun, lima sesi perbincangan kitab Riyadus Salihin, satu lagi kitab an-Nawawi, turut disertai Dr Adi Hidayat dan Habib Jindan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/PM7--500x337.jpg.webp)
Baba Ghazali dan Habib Ali antara enam tokoh yang membantu perbincangan Hadis 40. Sebagai pembuka festival dan daya tarik utama, daurah kitab ini dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 Mei.
Konsert meriah
Pameran al-Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu memaparkan lebih 20 manuskrip termasuk al-Quran tulisan tangan ulama tersohor Aceh, Syeikh Nuruddin al-Raniri, berusia 400 tahun.
Selain kitab suci dan ilmu asas agama, ia turut mempamerkan naskhah perubatan, astronomi, kesusasteraan, persenjataan dan warkah hubungan diplomasi sepanjang festival.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/05/image_123650291-50-500x340.jpg.webp)
Ts Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria daripada Universiti Kebangsaan Malaysia ditugaskan sebagai kurator pameran tersebut yang dirasmikan EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Ribuan orang awam, selain peserta, menghayati manuskrip bersejarah termasuk al-Quran bertinta emas, teks Hikayat Hang Tuah berusia 200 tahun dan kitab cara membuat keris.
Sebagai penutup pula, FTIS menganjurkan majlis zikir dan selawat selama dua malam dengan membawa kumpulan terkenal Ikhwah Abu Shaar (Syria) dan Majelis Azzahir (Indonesia).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/PSX_20240601_233409-500x333.jpg.webp)
Lautan puluhan ribu manusia membanjiri konsert Alunan Mahabbah pada 1 Jun dan keesokannya Darul Ehsan Berselawat & Maulid Akbar di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.
Selain kehadiran Dr Ali Jum’ah yang menjadi tonggak ilmu, Perdana Menteri dan Dato’ Menteri Besar duduk sepentas memeriahkan lagi acara malam terakhir.
Bercakap kepada Selangorkini pada 4 Jun, Ammar berkata Majelis Azzahir dari Pekalongan, Jawa Tengah dan beberapa tokoh kumpulan selawat ini sering mendapat perhatian ramai.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-Mugshot-Turath-Islami-1-500x333.jpg.webp)
“Acara ini memang ada peminatnya yang tersendiri. Apabila kumpulan dari Pekalongan itu hadir, ia menambah publisiti program tersebut. Kehadiran tokoh terkenal termasuk Habib Jindan dan Habib Ali memeriahkan lagi majlis,” katanya.
Selain kehadiran ramai di setiap sesi, program ini turut disiarkan secara langsung dari Masjid Negeri, Shah Alam melalui beberapa media sosial termasuk Media Selangor dan Nurflix.
Susulan kejayaan FTIS 2024 dan berdasar maklum balas orang ramai, tambah Ammar, festival itu akan diteruskan dengan beberapa cadangan lebih menarik.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/drone-500x235.jpg.webp)
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/05/mb4-1-500x333.jpg.webp)