AGENDAJENAYAH

Samun bersenjata kedai emas di Kajang libat kerugian RM3.2 juta

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Polis mengesahkan kerugian kira-kira RM3.2 juta dalam kejadian samun sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Kajang petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohamad Nasir Drahman berkata setakat ini, seramai tujuh individu termasuk pekerja premis terbabit diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kita akan panggil beberapa saksi lain untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan empat lelaki memakai topeng dan berpakaian seperti pengawal keselamatan serta bersarung tangan masuk ke premis itu yang terletak di tingkat satu pada 3.17 petang.

Suspek bertindak memecahkan cermin kaca tempat simpanan barang kemas menggunakan tukul besi sebelum mengambil barang kemas selain turut dipercayai membawa dua pucuk pistol serta selaras senapang.

Beliau berkata semasa kejadian suspek melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan terbabit.

-BERNAMA


Pengarang :