BUDAYARENCANA

Saya Memujuk Hati Mereka Untuk Bersyukur 

Oleh Afrina Aziz

Saya sudah tidak tahan lagi. Sudah lama saya memendam geram di dalam hati. Buat kesekian kalinya, bapa menghina makanan yang dimasak ibu. Setiap hari dan setiap kali ibu menyiapkan juadah untuk disantap oleh Sang Raja, pasti ada sahaja komennya terhadap masakan ibu yang begitu lazat pada saya. Ulasannya saling tidak tumpah seperti Gordon Ramsay ketika memaki hamun peserta dalam Hell’s Kitchen.

Bersyukurlah ibu masih tekal memasak setiap hari untuk mengisi perut seisi keluarga. Saya tahu bahawa memasak itu memerlukan kudrat yang banyak. Daripada memotong sayur sehinggalah menabur perasa ke dalam masakan. Saya benci melihat orang yang tidak reti bersyukur seperti bapa.

Pada hari ini, saya sudah nekad untuk memukul bapa sehingga pengsan dan mengheretnya ke dalam sebuah bilik kosong yang saya bina di bawah rumah lalu mengurungnya di sana. Saya tidak akan memberinya makanan supaya dia belajar makna syukur.

Selepas selesai saya mengurung bapa, saya mengatur langkah ke pasar untuk membeli sawi yang dikirim ibu. Setelah membeli sawi yang ibu mahu, saya melalui sebuah medan selera yang padat dengan manusia. Saya berhenti sejenak untuk memerhati gelagat seorang budak menepis sayur yang disuap bunya sehingga terjatuh ke atas lantai yang kotor. Budak tersebut memberontak dan menolak semua makanan yang terhidang di atas meja sehingga tumpah.

Melihat itu, darah saya menggelegak sehingga ke kepala. Budak seperti itu wajar dididik untuk bersyukur sejak kecil lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, bukan? Saya benci melihat orang yang tidak reti bersyukur. Apabila ibunya bangun daripada kerusi untuk mengambil tisu yang terletak di kaunter bayaran, budak itu turun daripada kerusinya dan menuju ke arah saya. Matanya menatap ke arah longkang yang dipenuhi berudu. Bibirnya mengukir senyuman nakal. Barangkali dia ingin bermain dengan berudu di dalam longkang tersebut.

Saya lekas-lekas mendukung budak itu untuk memasukkannya ke dalam kelas bersyukur yang terletak di bawah rumah saya. Moleklah jika dia bersama-sama dengan bapa di sana. Sekurang-kurangnya tidaklah bapa berasa sunyi. Sesampainya di bilik bawah rumah yang saya bina khas untuk mereka yang tidak reti bersyukur, saya menutup separuh wajah dengan kain hitam agar bapa tidak mengenali saya. Lalu, saya mencampakkan budak itu ke dalam bilik yang saya bina untuk dia duduk bersama bapa dan cepat-cepat mengunci pintu.

Usai melakukan tugas mendidik budak yang tidak pandai bersyukur itu, saya naik ke atas untuk menyerahkan sawi kepada ibu. Ibu tiba-tiba bertanyakan tentang bapa yang masih belum pulang ke rumah. Saya hanya mendiamkan diri dan membantunya memotong sayur-mayur yang akan dicampaknya ke dalam masakan untuk makan malam nanti.

Selepas seminggu, kehilangan bapa dan seorang kanak-kanak telah menggemparkan kawasan perumahan kami. Ibu menangis tersedu-sedu mengenangkan kehilangan suaminya yang begitu misteri. Saya juga berpura-pura risau di hadapan semua. Sambil-sambil itu, saya berdoa kepada Tuhan agar di bawah sana, bapa dan budak itu mempelajari tentang kesyukuran.

Hari-hari pun berlalu, ibu semakin reda dengan kehilangan bapa biarpun kadang-kalanya ibu tetap meratap. Kini saya telah mengambil alih tugas ibu dalam memasak. Ibu sudah tidak mampu memasak lagi semenjak bapa hilang. Setiap kali ibu mula memasak, ibu akan menangis sehingga air matanya jatuh ke dalam kuali, lalu menjadikan masakannya masin. Saya tidak mahu menjamah makanan yang masin. Maka, saya dengan sukarela mengambil tugas ibu untuk memasak. Saya juga tidak mahu mengecilkan hatinya sekiranya saya mengatakan masakannya masin.

Usai memasak, saya menghidangkan makanan di atas meja seperti kebiasaan. Saya memanggil ibu untuk makan bersama-sama. Ibu duduk di kerusinya dan merenung kerusi bapa yang kosong dengan lama sekali.

“Makan, bu.” Saya menghentikan lamunannya. Ibu hanya mengangguk perlahan, mengambil lauk yang saya masak.

“Sedap baunya.” Ibu senyum kepada saya. Ibu menyuapkan makanan ke dalam mulut.

“Tidak cukup garam.” Kata ibu lagi tanpa melihat wajah saya.

Saya hanya tersenyum. Saya bangun ke ruang dapur kering untuk mengambil garam yang dibeli di pasar. Ketika memasak, saya telah menghabiskan garam yang tersisa dua cubit. Saya fikir jumlah garam sudah mencukupi di dalam masakan saya. Rupanya tidak. Saya ingin menambah garam tersebut ke dalam masakan saya supaya rasanya cukup.

Ketika saya berjalan menuju ke ruang tamu bersama sepaket garam di tangan, ibu sudah tiada di tempat duduknya. Cepat benar ibu makan. Saya memotong paket garam untuk memasukkan garam ke dalam bekas khas. Sewaktu saya membuka penutup tong sampah untuk membuang paket garam yang sudah kosong, saya ternampak nasi dan lauk yang ibu ambil tadi. Mereka sedang bergaul mesra dengan kuman-kuman dan bau busuk di dalam tong sampah.

Oh, ibu. Rupanya ibu juga tidak tahu bersyukur. Penat saya memasak juadah di dapur untuk mengenyangkan perut ibu. Lebih baik saya biarkan ibu kebuluran atau biarkan ibu makan makanan yang masin disebabkan air mata ibu yang meleleh ke dalam masakan.

Saya tidak dapat menahan geram. Saya benci orang yang tidak tahu bersyukur, biar siapapun mereka. Saya mencari ibu di seluruh rumah, tetapi tidak dijumpai. Saya menuju ke bilik bawah rumah yang saya bina dan menjumpai ibu di sana. Ibu sedang membelek-belek mangga yang terkunci rapi pada pintu bilik itu. Saya mendekati ibu dengan perlahan-lahan bersama kayu di tangan. Saya memukul ibu seperti bapa, sehingga pengsan.

Lokasi ibu lebih memudahkan kerja saya untuk mengheretnya. Saya cepat-cepat membuka pintu dan mencampakkan ibu ke dalam bilik kosong itu dan menguncinya. Kini kelas bersyukur saya semakin meriah dengan kehadiran ahli baharu. Beginilah cara saya memujuk hati mereka untuk bersyukur.

Sebelum pergi, saya berdoa kepada Tuhan agar ibu, bapa dan budak itu sedikit sebanyak mendapat ilmu pengetahuan tentang makna syukur.

Saya bergegas ke atas dan membungkus makanan lebihan untuk diberi kepada jiran kami di sebelah rumah.

 

 


Pengarang :