BUDAYARENCANA

Sebelum Berangkat Hujan Pun Turun

emak kata satu hari nanti aku akan miliki seuncang
keping emas & benih namun tidak punyai sesiapa lagi

dengan emas aku biayai tukang membina bedar terbaik
dan aku kemudi layarku seorang diri menempuh laut lepas

dari pelabuhan ke pelabuhan ku jelajahi dan merdekakan
hamba-hamba menjadi manusia, manusia menjadi saudara

emak kata bedarku bedar merah yang teguh membelah ombak
aku tak akan sesat, emak semat sebutir bintang dalam dada

suatu hari akan tiba jua ke daratan terpilih cukup hitam cukup
berani menerima benih kerana aku telah sedia menjadi petani

kusemai benih terbaikku, ladangku hamil dan membiak
tempat berhijrah segala haiwan, berkumpul segala ternak

buah-buah meranum dan melimpah, saudara-saudaraku datang
berumah, berkampung, membina pagar, menyusun kerajaan

emak kata suatu hari nanti aku tidak perlu tuntunannya lagi
dengan lembut emak menarik aku ke dalam syurga dakapan

sebelum berangkat hujan pun turun, emak melepaskan aku
melayah bagai camar yang tahu membaca belahan angin.

Shafiq Said

 


Pengarang :