Pengusaha Daging Dendeng Kak Bell Nurul Nabila Rozali menyusun produk daging dendeng dalam peti sejuk beku ketika temu bual di Taman Melur, Ampang pada 26 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Advance sedia pembiayaan RM1.1 bilion, bantu PKS terjejas sejak 2020

SHAH ALAM, 21 JUN: Sejumlah RM1.1 bilion pembiayaan disediakan menerusi program Selangor Advance bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak 1 Julai 2020 hingga 30 April lalu.

Pelaksana inisiatif berkenaan dalam kenyataan memaklumkan lebih 300 PKS membabitkan 17 industri menerima manfaat dari segi modal awalan dan beberapa fasiliti kewangan yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

“Mengikut laporan bulan Selangor Advance sejak penubuhan program ini sebanyak 4,662 fasiliti yang diluluskan kepada PKS serta RM1,132 juta jumlah pembiayaan telah diagihkan.

“Sebanyak 11,461 transaksi telah dibuat dalam mengekalkan kadar kegagalan bayaran terendah dalam industri pada 0.16 peratus sehingga April lalu.

“Selangor Advance menyediakan lapan produk pembiayaan Islamik yang direka khas untuk memenuhi keperluan syarikat PKS antaranya termasuklah surat sokongan, bon pelaksanaan, surat aku janji, surat kredit, kredit pusingan, pinjaman berjangka dan sewa beli perindustrian,” menurutnya.

Tambah kenyataan itu, sistem pembiayaan Selangor Advance adalah patuh syariah dan dirangka berlandaskan tawarruq atau komoditi murabahah dengan caj serendah satu peratus sebulan daripada nilai invois.

“Sehingga kini, terdapat lebih 46 rakan kongsi korporat menyertai Selangor Advance antaranya Pejabat Setiausaha Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan KDEB Waste Management.

“Ini menunjukkan kepercayaan mereka kepada program Selangor Advance serta komitmen dan misi Kerajaan Negeri untuk membantu PKS,” katanya.

Pada 22 Jun 2020, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif pembiayaan tunai Selangor Advance dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS ketika pascawabak Covid-19.

Kerajaan Negeri kemudiannya meneruskan program ini dengan menambah lagi peruntukan untuk digunakan sebagai modal pusingan bagi perniagaan dan kontrak di seluruh Malaysia.


Pengarang :