Penyokong menunjukkan solidariti kepada Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Selangor beri peluang semua pihak kumpul dana bayar denda Selangor FC

SHAH ALAM, 26 JUN: Selangor melancarkan usaha bersama bagi memberi peluang semua pihak termasuk penyokong Red Giants mengumpul dana membayar denda kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata maklumat lanjut bagi melaksana langkah berkenaan akan dikongsi dalam masa terdekat oleh Majlis Sukan Negeri dan EXCO sukan.

“Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda minggu hadapan.

“(Ini) sebagai komitmen menegakkan keadilan bagi Selangor FC,” katanya dalam kenyataan hari ini menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Amirudin yang pernah mengurus pasukan tersebut pada 2015 dan 2016 menambah hukuman MFL terhadap Selangor FC mengundang kemarahan dan kekecewaan penyokong pasukan tersebut.

Katanya, reaksi itu harus menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan terhadap Red Giants ekoran tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih dibuat tanpa sebarang rasa bertanggungjawab.

Beliau turut menegaskan MFL wajar memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan dan empati terhadap nasib juga keselamatan pemain yang diperlaku dengan kejam.

“Keganasan jenayah yang berlaku terhadap tonggak bola sepak negeri Faisal Halim merupakan titik hitam dalam sejarah bola sepak tanah air,” katanya lagi.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj murka terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menghukum Selangor FC secara berlebihan.

Menyifatkannya tidak masuk akal, Baginda menganggap keputusan tersebut dibuat tanpa ihsan, tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap kezaliman.

Baginda juga kesal Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Dato’ Hamidin Mohd Amin yang tidak bersuara sedangkan pernah menjadi setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor antara 1995 hingga 2013.


Pengarang :