Penyokong menunjukkan solidariti kepada Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Selangor FC akan fail rayuan kepada MFL

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Selangor FC (SFC) akan memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang dipertimbang semula oleh Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berlandaskan peraturan berkaitan.

Skuad Gergasi Merah itu dalam kenyataan malam ini mengambil maklum keputusan MFL berhubung pertimbangan semula keputusan yang dibuat selaras dengan ketidakhadirannya pada perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, pada 10 Mei lalu.

“Untuk makluman Selangor FC masih belum memfailkan sebarang rayuan kepada MFL,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu MFL dalam kenyataan hari ini berkata ahli Lembaga pengarah menggunakan budi bicara untuk menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Selepas pertimbangan MFL, hukuman denda terhadap SFC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 yang dikenakan ke atas pasukan itu turut dibatalkan.

Selain itu larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik, dan penonton akan dibenarkan hadir menyaksikan pada perlawanan itu nanti.

MFL berkata tempoh rayuan diberikan kepada Selangor FC adalah tiga hari bermula hari ini seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :