Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon bercakap kepada media selepas majlis Penajaan Rasmi Citadel Group Tech X Selangor FC di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 24 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Selangor FC fail rayuan berdasar keputusan timbang semula kepada MFL

SUBANG JAYA, 30 JUN: Selangor FC (SFC) memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang dipertimbang semula oleh Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perincian rayuan.

“Ya. Kita sudah hantar rayuan kepada pihak MFL semalam berdasarkan keputusan yang dipertimbang semula. Perincian mengenai rayuan saya tidak boleh kongsi sebab tidak mahu mengganggu proses rayuan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Tanjong Subang Jaya, jenama perkhidmatan perhotelan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini hari ini.

Johan turut mengesahkan MFL belum memberi sebarang maklum balas berhubung rayuan itu setakat ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan hadir ke majlis pelancaran Hotel Tanjung Subang Jaya pada 30 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 27 Jun lalu, MFL menerusi kenyataan berkata ahli lembaga pengarah menggunakan budi bicara untuk menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap SFC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Selepas pertimbangan MFL, hukuman denda terhadap SFC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 turut dibatalkan.

Selain itu, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik dan penonton dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan itu.

MFL berkata tempoh rayuan diberikan kepada SFC adalah tiga hari bermula 27 Jun seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.


Pengarang :