Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar bercakap kepada media ketika sidang media khas Faisal Halim di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor FC sedia pelan pemulihan, Faisal Halim mahu segera beraksi

SHAH ALAM, 13 JUN: Selangor FC menyediakan pelan pemulihan bagi memastikan pemainnya, Faisal Halim pulih sepenuhnya susulan insiden simbahan asid yang berlaku Mei lalu.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC Dr Muhammad Hazwan Khair berkata pelan itu tidak hanya membabitkan pemulihan fizikal tetapi turut melibatkan emosi pemain kebangsaan itu.

“Kita tidak tengok pemulihan fizikal sahaja atau prestasi dan sebagainya. Keutamaan saya adalah tiada garis masa untuk tentukan Faisal boleh kembali beraksi.

“Mahu kembali main bukan sahaja perlu pemulihan fizikal tetapi juga emosi. Kita sudah rangka langkah yang akan kita buat seperti permainan simulasi, pengurusan emosi dan sebagainya,” katanya hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC di sini, bersama Faisal, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar dan peguam Mohd Haijan Omar.

Dalam pada itu, Faisal berkata doktor memaklumkan beliau perlu berehat dan hanya dibenarkan kembali beraksi dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Bagaimanapun, tonggak Gergasi Merah itu meluahkan beliau tidak pernah bercuti melebihi sebulan atau mengambil cuti sakit sepanjang bersama pasukan Selangor FC.

“Saya tidak pernah berehat lebih sebulan. Semua kejohanan saya pergi. Saya juga tidak pernah ambil cuti sakit, walaupun demam saya tetap berada di padang.

“Saya harap dalam masa sebulan lebih ini saya dapat kembali beraksi. Walaupun doktor kata tiga hingga enam bulan, doktor juga puji perkembangan kesihatan saya agak cepat,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya dan mengalami lecur tahap empat.


Pengarang :