Ketua Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM) cawangan Shah Alam Mohd Rizal Karim memberi penerangan berkaitan lori roro kepada pelajar UiTM ketika program Greening The Globe di sini anjuran KDEBWM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sebuah sekolah di Seksyen 18, Shah Alam pada 5 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sempena Aidiladha, KDEBWM sedia tong Roro di 384 lokasi sekitar Shah Alam

SHAH ALAM, 5 JUN: Kutipan sampah domestik di daerah ini dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang hari raya Aidiladha nanti.

Ketua Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM) cawangan Shah Alam Mohd Rizal Karim berkata kutipan sampah itu meningkat berbanding hari biasa iaitu sekitar 650 ke 700 tan sehari.

“Kita sudah bersedia dengan jangkaan peningkatan kutipan sampah di sekitar Shah Alam menjelang sambutan Aidiladha.

“KDEBWM juga menyediakan tong ‘Roll On Roll Off’ (Roro) bagi kutipan sampah pukal di 384 kawasan,” katanya ditemui pada program Greening The Globe di sini, hari ini.

Semalam KDEBWM memaklumkan urusan permohonan bantuan kutipan sampah pukal, pertanyaan dan sebarang aduan boleh dibuat melalui aplikasi iClean Selangor

iClean Selangor memudahkan orang ramai melaporkan aduan kutipan sisa pepejal secara dalam talian selain memohon khidmat pembuangan sampah pukal.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai program Greening The Globe, beliau memaklumkan program sempena sambutan Alam Sekitar Sedunia itu dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara Shah Alam.

“Program ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat KDEBWM dan usaha dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar, dengan mengetengahkan pendekatan program Sains, Teknologi, Kejuteraan dan Matematik (STEM).

“Selain itu, kita turut mempromosikan aplikasi iClean Selangor dan mempamerkan salah satu aset KDEBWM tong Roro,” katanya.

Terdahulu, program tersebut turut membawa bas pendidikan alam sekitar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam usaha memberi kesedaran penjagaan alam sekitar kepada generasi muda.

Ketua Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM) cawangan Shah Alam Mohd Rizal Karim melawat pameran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama ketika program Greening The Globe di sini anjuran KDEBWM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sebuah sekolah di Seksyen 18, Shah Alam pada 5 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :