AGENDAJENAYAH

Seorang pengsan, 16 pedih mata, pening akibat tumpahan kimia kilang

SUNGAI PETANI, 28 JUN: Pekerja di sebuah kilang menghasilkan produk berasaskan getah pengsan manakala 16 lagi rakan sekerjanya mengalami gejala pedih mata dan pening dipercayai akibat tumpahan kimia di Bakar Arang dekat sini, semalam.

Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuib berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 3.04 petang memaklumkan berlaku tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite.

“PGO Kedah mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani ke lokasi dan mendapati berlaku tumpahan bahan kimia di kilang berkenaan.

“Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa yang pengsan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh pihak kilang manakala mangsa yang mengalami gejala pedih mata dihantar ke klinik berdekatan dan HSAH untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tumpahan kimia sodium hypochlorite dianggarkan 60 liter dan tindakan nyahcemar dilakukan di lokasi menggunakan air.

“Penggunaan kertas litmus digunakan bagi mengesan bacaan asid dan didapati dalam keadaan normal.

“Pada 5.23 petang, dilaporkan tujuh lagi mangsa dibawa ke hospital oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pemeriksaan susulan,” katanya.

Fauzi berkata kerja pembersihan dilakukan di lokasi sehingga tiada lagi unsur bahaya dan operasi tamat 5.48 petang semalam.

– BERNAMA


Pengarang :