Ketua Institusi Al-Azhar (Sheikh Al-Azhar), Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Ahmed Mohammed Al-Tayyib. Foto Instagram muslimeldersmalaysia
AGENDANASIONAL

Sheikh Al-Azhar adakan lawatan rasmi ke Malaysia empat hari mulai 2 Julai

PUTRAJAYA, 30 JUN: Ketua Institusi Al-Azhar (Sheikh Al-Azhar), Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Ahmed Mohammed Al-Tayyib akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari bermula Selasa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kedatangan Ahmed Mohammed Al-Tayyib adalah bagi memenuhi undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lawatan rasmi ini sudah tentu akan memberi makna besar kepada usaha-usaha pengukuhan perpaduan umat Islam selain memperkukuh keakraban hubungan antara Malaysia dan Mesir.

“Pada masa sama, kehadiran beliau nanti akan memantapkan usaha-usaha pembangunan Islam di Malaysia khususnya pendidikan Islam dan tahfiz,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang lawatan rasmi Sheikh Al-Azhar itu, selain pertemuan bersama perdana menteri, beberapa program melibatkan beliau telah dirancang, antaranya Lawatan serta Bicara Eksekutif MADANI di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam; Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini; serta Sesi Pertemuan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia.

“JPM (Hal Ehwal Agama) amat yakin bahawa lawatan rasmi ini akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara,” kata Mohd Na’im.

– BERNAMA

 


Pengarang :