EXCO Pelaburan Ng Sze Han ketika sidang media selepas perasmian Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) 2024 di Sheraton Petaling Jaya Hotel, Petaling Jaya pada 25 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

SIBS dianjur dua siri, mampu capai potensi pelaburan RM7 bilion

PETALING JAYA, 25 JUN: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahun ini diadakan dua siri dengan sasaran nilai potensi pelaburan RM7 bilion.

EXCO pelaburan berkata siri pertama berlangsung pada 25 hingga 27 Julai depan menumpukan kepada Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC).

“Manakala siri kedua pada 16 hingga 19 Oktober melibatkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

“Edisi kelapan ini kita sasar kehadiran 60,000 pengunjung daripada 80 negara. Kita juga menyediakan lebih 1,300 reruai ekoran permintaan tinggi pelbagai pihak untuk menjadi pempamer.

“Untuk kali ini juga, Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) kali ketiga akan diadakan pada siri kedua bawah sidang makanan dan minuman. Kita yakin sasaran RM7 bilion dapat dicapai berdasarkan rekod diterima tahun lalu sebanyak RM6.12 bilion,” kata Ng Sze Han ketika melancarkan SIBS hari ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) merasmikan Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) 2024 di Sheraton Petaling Jaya Hotel, Petaling Jaya pada 25 Jun 2024. Hadir sama EXCO Agama Dr Fahmi Ngah (dua, kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop (dua, kanan) dan Pengarah UPEN Dato’ Johary Anuar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), beliau berkata SABC yang terarah kepada forum pelaburan juga bakal menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai panel.

Jelasnya, individu berpengalaman sekitar Asia Tenggara termasuk dari Timor Leste selain agensi kerajaan dan wakil pihak berkuasa tempatan juga terlibat dengan forum berkenaan.

“Kerajaan Pahang, Sabah, Kelantan, Melaka, Perak, Kedah, Sarawak dan Terengganu juga akan terbabit untuk sidang Spark.

“Ini merupakan percubaan kita untuk anjurkan dua kali selepas menerima sambutan menggalakkan pada edisi lepas. Untuk akan datang, kita perlu lihat perjalanan proses kali ini sebelum membuat keputusan lanjut,” katanya.

SIBS yang diperkenal pada 2016 menarik penglibatan banyak pihak agensi kerajaan serta negara luar antaranya China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia.

Tahun lalu, sidang bertaraf antarabangsa itu merekodkan nilai transaksi pelaburan RM6.12 bilion, meningkat empat kali ganda berbanding sasaran RM1.5 bilion.


Pengarang :