Orang ramai mengunjungi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

SIBS tingkat potensi ekonomi, platform jadikan Asia Tenggara benua termaju

PETALING JAYA, 25 JUN: Langkah pelaburan tepat termasuk penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) mampu mengangkat ekonomi Asia Tenggara ke tahap lebih tinggi.

Menyediakan jaringan perniagaan lengkap, sidang berkenaan menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut menjadi platform untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai benua termaju.

“SIBS bukan hanya menumpukan Malaysia tetapi juga Asia Tenggara. Saya percaya langkah dan strategik tepat boleh mengangkat ekonomi Asia Tenggara dan menjadi antara benua termaju.

“Percaya dengan potensi ini, Kerajaan Selangor yakin mampu membina rangkaian seterusnya mencapai kejayaan dan memberi manfaat kepada semua,” katanya dalam rakaman video sempena pelancaran SIBS.

Dirasmikan EXCO Pelaburan Ng Sze Han di sini hari ini, SIBS dianjurkan dua kali tahun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM7 bilion.

Siri pertama berlangsung pada 25 hingga 27 Julai depan menumpukan kepada Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC).

Siri kedua pula dijadual pada 16 hingga 19 Oktober melibatkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

Sidang bertaraf antarabangsa itu menyasarkan kehadiran 60,000 pengunjung dari 80 negara selain menyediakan lebih 1,300 reruai pameran.


Pengarang :