Petugas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melaksanakan kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 5 Jun 2024. Foto Facebook Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Status pemulihan bekalan air capai 12.7 peratus takat 6 pagi

SHAH ALAM, 6 JUN: Status pemulihan bekalan air di kawasan terlibat kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) mencapai 12.7 peratus setakat jam 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan tempoh pemulihan berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air sistem agihan bekalan air.

Menurut agensi itu bekalan air di tujuh wilayah terjejas iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari esok.

“Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dijangka mencapai sekitar 20 peratus 3 petang hari ini diikuti 90 peratus jam 3 pagi esok,” katanya di Facebook.

Air Selangor menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Selain itu pengguna yang telah mendapat bekalan air diharap menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Syarikat itu juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) beroperasi sepenuhnya selepas kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap dilaksana pada 7 malam semalam.


Pengarang :