BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Subsidi bersasar diesel bendung ketirisan, pembaziran sumber

Penyasaran subsidi diesel bermula bulan ini riuh diperkata ramai. Dari segi politik, ia langkah berani kerajaan kerana keputusan ini boleh menjadi sangat tidak popular. Dari segi ekonomi, ia langkah kerajaan yang bertanggungjawab.

Subsidi, daripada perkataan Latin subsidium, bermaksud sokongan, bantuan, pertolongan atau perlindungan. Dalam konteks praktikal, ia pemberian kewangan kerajaan kepada penerima yang ditentukan.

Ahli ekonomi berpendapat subsidi mempunyai fungsi tertentu, misalnya bagi menstabilkan harga ketika inflasi mengejut akibat ketidaktentuan ekonomi. Pada masa sama, mereka memperakui subsidi boleh memberi kesan negatif kerana pembaziran sumber.

Pada satu tahap lebih luas, ia mempercepat kerosakan alam sekitar dan kekurangan barangan keperluan dan kenaikan harga kerana sumber cepat habis.

Riuh perdebatan mengenai isu ini berlaku kerana beberapa sebab. Ada tiga kritikan utama boleh dikesan.

Pertama, pembangkang menggunakan peluang untuk menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menurunkan harga minyak seperti ucapan lama beliau. Perdana menteri dalam mempertahan pendiriannya menegaskan konteksnya tidak lagi sama. Ini kerana jumlah subsidi penggunaan diesel jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Ini cocok dengan penjelasan tokoh ekonomi terkenal Lord Maynard Keynes, “Bila fakta-fakta berubah, maka saya mengubah fikiran (sebelum ini). Bagaimana pula dengan kamu?”

Untuk rekod, jumlah diesel pada 2019 ialah 6.1 bilion liter dengan perbelanjaan subsidi diesel RM1.4 bilion atau sekitar RM0.23 sen bagi setiap liter.

Ia meningkat kepada 10.8 bilion liter pada 2023 dengan perbelanjaan subsidi diesel RM14.3 bilion, atau RM1.32 seliter. Dalam maksud lain, pada 2019 kerajaan hanya memberi subsidi diesel sekitar 10 peratus daripada harga pasaran.

Namun, jumlah ini meningkat hampir 40 peratus daripada harga pasaran. Ini belum mengambil kira subsidi petrol RON95 yang tentunya lebih tinggi kerana diguna secara lebih meluas.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 misalnya menunjukkan perbelanjaan subsidi dalam vot (kod akaun belanjawan) mengurus melambung RM55.443 bilion iaitu peningkatan RM42.309 bilion atau 322.1 peratus berbanding 2021 yang berjumlah RM13.134 bilion.

Daripada jumlah itu, subsidi barangan produk petroleum meliputi RM45.184 bilion atau 81.5 peratus perbelanjaan tersebut. Ini lonjakan RM35.161 bilion atau 350.8 peratus, daripada sekitar RM10.023 bilion pada 2021. Kenaikan ini juga berpunca daripada kenaikan harga purata produk petroleum global.

Pembaziran sumber

Jumlah keseluruhan subsidi petroleum kini setara, malah lebih daripada dividen tahunan Petronas kepada kerajaan antara RM30 bilion ke RM50 bilion. Ini menjadikan seolah-olah Petronas membiayai keuntungan syarikat minyak lain sekali gus cukai yang dikenakan kepada mereka melalui tanggungan subsidi petroleum ini.

Jumlah besar subsidi petroleum ini juga terbazir kerana tidak dapat digunakan untuk tujuan pembangunan.

Setakat ini, pembangkang sekadar berpolitik dan gagal menyatakan pendirian sama ada mereka akan menurunkan harga diesel jika berkuasa atau sebenarnya bersetuju dengan keperluan rasionalisasi subsidi berdasarkan realiti kedudukan fiskal kerajaan pada masa ini.

Kedua, pengguna diesel terkesan dengan kenaikan yang agak besar daripada RM2.15 kepada RM3.35 bagi setiap liter pembelian. Ini ada benarnya. Penyasaran subsidi memang bertujuan menghadkan dan jika boleh menghalang terus ketirisan dalam pemberian subsidi. Justeru itu, pasti ada yang terkesan kerana tidak lagi menikmati subsidi pukal seperti sebelum ini.

Daripada rekod lalu, 20 peratus penduduk berpendapatan tertinggi menikmati 42 peratus subsidi bahan api. Manakala 40 peratus terbawah hanya menikmati 14 peratus subsidi yang sama. Kerajaan hanya mensasarkan penjimatan tidak kurang RM4 bilion daripada pendekatan dasar semasa.

Subsidi terhad masih diberi kepada kumpulan sasaran tertentu termasuk petani, pesawah, nelayan dan sejumlah kenderaan industri yang layak dan berdaftar. Mereka umumnya masih menikmati harga diesel bersubsidi seperti sebelum ini melalui pendaftaran kad kelompok (fleet card).

Sekiranya 25 sen diambil sebagai jumlah subsidi kerajaan bagi setiap liter penggunaan diesel, pemberian paling rendah iaitu RM200 kepada kenderaan diesel individu yang layak bersamaan subsidi 25 sen bagi 800 liter petrol. Ia sebenarnya lebih tinggi atau setara kadarnya dengan penggunaan diesel sebelum ini.

Ketiga, kebimbangan tentang rantaian kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan. Ini juga ada benarnya pada kadar tertentu. Namun, kita mesti lebih rasional.

Banyak faktor yang mendorong kepada kenaikan harga barang. Ini boleh berlaku misalnya kerana kenaikan gaji. Gaji adalah nama lain bagi harga dan kita semua berkeinginan mendapat gaji yang lebih tinggi. Adakah kerana kita menaikkan harga barang, maka kita menolak kenaikan gaji? Sudah tentu tidak.

Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang mencerminkan harga sebenar pasaran sebenarnya baik untuk jangka panjang kerana ia akan mengelak pembaziran sumber.

Pada masa sama, kerajaan kini mempelbagai bantuan terus kepada golongan sasaran berpendapatan rendah untuk meringankan beban dan meningkatkan kuasa beli mereka.

Ini boleh dilihat misalnya pada tambahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), pengenalan elaun kepada tentera tidak berpencen, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang lebih tinggi, bantuan skim perubatan, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan sebagainya.

Tidak semua kritikan atau kebimbangan yang dibangkitkan ramai salah. Kerajaan dan penyokongnya perlu menilai merit persoalan yang dibangkitkan dan menjelaskan dengan lebih baik kepada semua.

Kita mahu penyasaran subsidi yang dibuat akan meningkatkan sumber kerajaan bagi melakukan banyak pembangunan tertangguh dalam pelbagai sektor lain seperti pendidikan, perumahan dan kesihatan.

Ahli politik sukakan populariti. Keberanian ahli politik melakukan sesuatu yang bertanggungjawab meski tidak popular adalah satu sikap terpuji. Ini kerana negarawan berfikir dan bertindak untuk negara lebih daripada sekadar mengejar populariti untuk menang pilihan raya.

*** Penulis adalah pengerusi Institut Terjemahan Buku Negara dan bekas ahli parlimen


Pengarang :