Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pada majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan: Keputusan MFL tiada semangat kesukanan, rosak imej bola sepak

SHAH ALAM, 26 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan bolasepak Malaysia (FAM) tidak serius dalam isu keganasan membabitkan pemain.

Berada dalam arena itu sejak 1968 hingga 1990, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak pernah menyaksikan keganasan sedemikian hingga mencemar sukan sebagai alat penyatuan rakyat.

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah berjaga-jaga mengenai aspek keganasan dan kezaliman terhadap pemain,” titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda juga pelik berikutan MFL dan FAM tidak menunjukkan simpati dan belas kasihan terhadap pihak yang teraniaya mengakibatkan situasi itu mencemar kredibiliti bola sepak negara.

Penyokong mengambil gambar bersama mural wajah Faisal Halim ketika tinjauan di luar stadium ketika perlawanan antara Selangor FC dan KDA FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC,” titah Baginda.

Sultan Selangor kesal presiden FAM tidak serius bersuara meski Dato’ Hamidin Mohd Amin bekas setiausaha Persatuan Bola sepak Selangor (FAS) antara 1995 hingga 2013, bahkan dikurnia darjah kebesaran daripada Baginda.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor dari Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

“Tindakan melampau MFL langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini,” titah Baginda.

Murka terhadap MFL yang menghukum Selangor FC secara berlebihan dan tidak masuk akal, Baginda menganggap keputusan itu dibuat tanpa ihsan, tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap kezaliman.

“Hukuman yang dijatuhkan iaitu denda RM100,000, pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan tanpa penonton tidak masuk akal dan berlebihan memandangkan kemenangan telahpun diberi kepada pasukan lawan,” titahnya.

Baginda juga mengingatkan MFL mengenai jenayah simbah asid menimpa pemain Selangor FC Faisal Halim manakala beberapa pemain bola sepak lain turut diserang pada minggu sama.

Justeru, Baginda memberi perkenan untuk memohon perlawanan Piala Sumbangsih ditangguh ekoran pemain trauma dan ketakutan sebaliknya ia ditolak MFL yang memberi kemenangan kepada pasukan lawan.


Pengarang :