Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah sempena Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan murka hukuman MFL, ‘tidak masuk akal dan berlebihan’

SHAH ALAM, 26 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj murka terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menghukum Selangor FC secara berlebihan.

Menyifatkannya tidak masuk akal, Baginda menganggap keputusan tersebut dibuat tanpa ihsan, tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap kezaliman.

Baginda juga kesal Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Dato’ Hamidin Mohd Amin yang tidak bersuara sedangkan pernah menjadi setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor antara 1995 hingga 2013.

“Hukuman yang dijatuhkan iaitu denda RM100,000, pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan tanpa penonton tidak masuk akal dan berlebihan memandangkan kemenangan telahpun diberi kepada pasukan lawan,” titahnya.

Baginda dalam kenyataan hari ini mengingatkan jenayah simbah asid menimpa pemain Selangor FC Faisal Halim manakala beberapa pemain bola sepak lain turut diserang pada minggu sama.

Justeru, Baginda memberi perkenan memohon perlawanan Piala Sumbangsih ditangguh ekoran pemain trauma dan ketakutan sebaliknya ia ditolak MFL yang memberi kemenangan kepada pasukan lawan.

Baginda yang terlibat dalam arena itu sejak 1968 hingga 1990 juga tidak pernah menyaksikan keganasan sedemikian hingga mencemar sukan sebagai alat menyatukan rakyat berbilang kaum.

“Lebih teruk lagi, MFL dan Persatuan bolasepak Malaysia (FAM) langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain,” titah Baginda.

Baginda juga pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan simpati dan belas kasihan terhadap pihak yang teraniaya yang mengakibatkan situasi itu mencemar kredibiliti bola sepak negara.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor dari Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

“Tindakan melampau MFL langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.,” titah Baginda.


Pengarang :