Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mengabadikan gambar kenangan selepas menyempurnakan tawaf haji di Masjidil Haram pada musim haji 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan, Permaisuri seru umat Islam syukuri nikmat, insafi nasib golongan daif

SHAH ALAM, 16 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berharap umat Islam mensyukuri nikmat kurniaan Allah serta melaksanakan ibadah korban demi membantu yang miskin, selain menginsafi nasib golongan daif.

“Umat Islam diseru bersama-sama menyempurnakan tanggungjawab sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran dengan merapatkan ukhuwah dan mempererat hubungan silaturahim,” titah baginda di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda juga mendoakan jemaah haji Malaysia dapat melakukan ibadah dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur, seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat.

“Semoga pengalaman mengerjakan ibadah haji dapat dimanfaatkan agar menjadi insan yang lebih tawaduk serta mampu memperkukuh dan meningkatkan tahap keimanan dalam diri,” titah baginda.


Pengarang :