Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah sempena Istiadat Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Sultan Selangor perkenan terima menghadap presiden FAM

KUALA LUMPUR, 29 JUN: DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan terhadap permohonan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menghadap.

Menurut Hamidin, perkara itu dimaklumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani kepadanya, petang semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga baru dilantik sebagai Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ketika sidang media selepas Mesyuarat Rakan Kongsi Liga pada 14 September 2019. Foto BERNAMA

“Saya telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk (Mohamad) Munir kira-kira 2.30 petang Jumaat, iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan menghadap Tuanku Sultan Selangor.

“Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan beliau (Datuk Mohamad Munir) untuk menerima permohonan menghadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu berkata tarikh untuk menghadap Sultan Sharafuddin hanya akan diadakan selepas 7 Julai.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai depan, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan serta majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” katanya.

Rabu lepas, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa murka baginda atas keputusan yang dibuat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC sehari sebelum itu.

Ia selepas MFL mengenakan hukuman denda RM100,000, bayaran pampasan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL, pemotongan tiga mata dalam Liga Super 2024/2025 dan aksi Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tanpa penyokong.

Hukuman tersebut susulan Selangor tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor, bulan lepas.

Bagaimanapun, Khamis lepas MFL mengurangkan hukuman denda daripada RM100,000 kepada RM60,000 selain membatalkan hukuman pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025.

Selain itu, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 Selangor menentang JDT di Stadium MBPJ turut ditarik balik, namun bayaran pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah aksi Sumbangsih dan MFL dikekalkan.

Khamis lepas, Hamidin memaklumkan media beliau sudah menghantar surat untuk memohon menghadap Sultan Sharafuddin berhubung ‘teguran’ daripada baginda.

– BERNAMA


Pengarang :