Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 17 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor, Permaisuri solat sunat Aidiladha bersama lebih 3,000 jemaah

SHAH ALAM, 17 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di sini hari ini.

Turut berangkat mengiringi Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Menyambut keberangkatan Baginda barisan pentadbiran Kerajaan Negeri iaitu EXCO Agama Dr Fahmi Ngah; EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim; EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dan EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail.

Sementara itu, khutbah Aidiladha bertajuk Ibadah Haji dan Eiduladha Kemuncak Zikrullah hari ini mengingatkan umat Islam ikhlas melakukan ibadah korban dan berkorban pada jalan Allah sebagaimana kerelaan berkorban yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 17 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dibacakan dihadapan lebih 3,000 jemaah, Timbalan Mufti Selangor Dato’ Dr Miszairi Sitiris berkata umat Islam juga diingatkan sentiasa berzikir memuji kebesaran Allah SWT supaya hati menjadi tenang dan mengukuhkan keimanan kepada-Nya.

“Umat Islam yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah adalah tanda zikir dan ingatnya kepada Allah SWT serta dapat mengambil pengajaran daripada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam mentaati perintah Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, menerusi Facebook Selangor Royal Office, Baginda bertitah umat Islam perlu mensyukuri nikmat kurniaan Allah serta melaksanakan ibadah korban demi membantu yang miskin, selain menginsafi nasib golongan daif.

Titah Sultan Selangor, umat Islam diseru bersama-sama menyempurnakan tanggungjawab sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran dengan merapatkan ukhuwah serta mengerat hubungan silaturahim.

Ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 17 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :