Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima Warkah Persilaan Ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 yang disampaikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Istana Bukit Kayangan pada 28 Jun 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan terima menghadap menteri komunikasi, dipersembah warkah persilaan istiadat tabal Agong

SHAH ALAM, 28 JUN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Istana Bukit Kayangan dekat sini, semalam.

Sesi menghadap itu adalah bagi mempersembahkan Warkah Persilaan Ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Sultan Ibrahim yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.

Dalam hantaran menerusi Facebook Selangor Royal Office, Baginda berkenan menerima warkah persilaan dipersembahkan Fahmi yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

Turut hadir Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja/Setiausaha Majlis Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara/Pegawai Istiadat Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Pada 16 Mei lepas, Fahmi dilaporkan berkata kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan pelbagai acara sempena istiadat penuh simbolik itu yang berlangsung lima tahun sekali.

Antara acara tersebut ialah Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara, Lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli Gombak dan Pameran Raja Kita di Muzium Negara.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Istana Bukit Kayangan pada 28 Jun 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office

Pengarang :