Kesan cat biru yang ditemui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di kawasan perindustrian di Jalan Omboh menyebabkan Sungai Kandis tercemar pada 1 Jun 2024. Foto Facebook LUAS
AGENSISELANGOR

Sungai Kandis dicemari cat biru, LUAS buka kertas siasatan

SHAH ALAM, 2 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan susulan penemuan aliran air berwarna biru di Sungai Kandis semalam.

Agensi memaklumkan pihaknya menemui punca yang disyaki di kawasan perindustrian di Jalan Omboh di sini, iaitu kesan pembuangan cat berwarna biru.

“Semakan lanjut LUAS mendapati lopak air di kawasan tersebut berwarna biru dan aliran telah memasuki longkang berhampiran dan seterusnya mengalir ke Sungai Kandis.

“LUAS telah melakukan pensampelan kualiti air dan sampel tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan,” katanya menerusi Facebook.

Susulan itu, menurut LUAS, pihaknya membuka kertas siasatan bawah Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air.

Jelasnya, LUAS turut menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa agensi.

“Kerajaan Negeri, LUAS dan agensi berkaitan tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air negeri,” katanya.


Pengarang :