Pengunjung memilih barangan asas ketika program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Aidilfitri DUN Sungai Tua di Gua Damai Extreme Park, Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves pada 7 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sungai Tua antara tiga lokasi jualan mega sempena Aidiladha esok

SHAH ALAM, 14 JUN: Jualan mega barangan asas sempena Aidiladha kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berlangsung di tiga lokasi esok.

Bermula 9 pagi, orang ramai boleh mengunjungi Laman Boungainvillea Kampung Sungai Kertas Batu Caves (Sungai Tua), pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Kubu Bharu (Kuala Kubu Bharu) dan tapak pasar malam Taman Kem (Pelabuhan Klang).

“Jualan Mega Ehsan Rahmah sempena Aidiladha kini kembali. Jom ramai-ramai kita lakukan persediaan menjelang hari raya pada Isnin depan,” maklum PKPS di Facebook.

Sempena sambutan Aidilfitri pada April lalu, Kerajaan Negeri menganjur jualan mega di 18 lokasi bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah berbelanja keperluan raya.

Lima barangan utama iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras dijual pada harga bersubsidi melibatkan peruntukan sebanyak RM296,439.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sepanjang tahun ini, JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :