AGENDAJENAYAH

Suri rumah didakwa bunuh kanak-kanak perempuan lima tahun

IPOH, 21 JUN: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah rumah di Taman Malcop di sini.

Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S Punitha, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Suri rumah itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan dengan menyebabkan kematian Iman Adelia Yusullah antara 5 dan 10 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pada 11 Jun lepas media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun maut disyaki akibat didera dalam kejadian di Taman Malcop di sini.

Polis menerima laporan mengenai kes itu sekitar pukul 9.45 pagi pada 10 Jun, selepas kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun disahkan meninggal dunia selepas itu.

-BERNAMA

 


Pengarang :