Kanak-kanak Palestin tidak sabar mengambil makanan pada hari ketiga Ramadan, bersamaan 13 Mac, ketika serangan Israel berterusan di Rafah, selatan Gaza pada 13 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Terlalu ramai terbunuh, hidup kanak-kanak Palestin paling menderita

TEHRAN, 14 JUN: Kanak-kanak Palestin telah melalui apa yang tidak sepatutnya dilihat atau dialami oleh mana-mana kanak-kanak di dunia, kata Philippe Lazzarini, Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Lazzarini menekankan dalam satu hantaran di akaun X miliknya pada Khamis bahawa kanak-kanak adalah yang pertama dan paling menderita dalam konflik dan peperangan, serta perang di Gaza tidak terkecuali, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

“Terlalu ramai yang terbunuh, terlalu ramai yang cedera dan terlalu ramai yang akan mengalami parut seumur hidup,” katanya.

“Mereka yang terselamat berada dalam trauma yang serius. Sekolah-sekolah mereka telah dimusnahkan dan mereka kehilangan setahun persekolahan, tanpa pendidikan atau bermain. Perang merampas zaman kanak-kanak kanak-kanak Gaza,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru gencatan senjata segera di wilayah yang dikepung itu, memberi amaran bahawa tanpa gencatan senjata, kanak-kanak Gaza akan menjadi generasi yang hilang, mudah menjadi mangsa eksploitasi.

Lebih daripada 15,000 kanak-kanak Palestin terbunuh di Gaza sejak permulaan serangan genosid oleh rejim Israel pada 7 Oktober 2023.

-BERNAMA-IRNA

 


Pengarang :