Tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiada kenaikan tarif elektrik tahun ini, pengguna domestik terus dilindungi

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung mulai Isnin ini (1 Julai) hingga 31 Disember, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu persetujui kerajaan semalam dan melalui keputusan itu, kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.

Kenyataan itu memaklumkan kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tempoh sama supaya PBT dapat menyediakan perkhidmatan pencahayaan menyeluruh di kawasan awam seperti lampu jalan, lampu taman perumahan dan lampu kawasan rekreasi.

“Selain itu, pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh Julai hingga Disember 2024.

“Kerajaan berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran di samping menyokong usaha menggalakkan pelaburan di Malaysia, seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara,” menurut PETRA.

Kementerian itu memaklumkan secara keseluruhan jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh Julai hingga Disember ini yang akan dibiayai oleh kerajaan sebanyak RM2.192 bilion.

PETRA percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi kerajaan dan peruntukan tersebut akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat.

Selain itu, ia membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara.

Kerajaan juga terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 bagi pengguna elektrik dalam kategori miskin tegar yang berdaftar dan disahkan dalam sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada 2024 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti berhampiran.

“Walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember, pengguna disaran untuk sentiasa menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga.

“Di bawah Program SAVE 4.0, pengguna boleh menerima e-rebat hingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga yang mendapat penarafan empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan itu pengguna juga digalakkan untuk menyertai inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan kediaman masing-masing di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

PETRA memaklumkan melalui program baharu Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS), pengguna baharu Program NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada dan selepas 1 April ini akan menerima rebat RM1,000/kwAC hingga maksimum RM4,000.

“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing. Kerajaan berharap pemberian subsidi elektrik ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :