Orang ramai membayar cukai serta kompaun di kaunter bergerak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Hulu Kelang pada 17 Jun 2023. Foto Majlis Perbandaran Ampang Jaya
BERITA UTAMAPBTPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Tidak naik cukai hampir 40 tahun, penduduk boleh kemuka bantahan

OLEH SITI ROHAIZAH ZAINAL, SUHAILA SHAHRUL ANNUAR & FITRI HAZIM HAZAM

SHAH ALAM, 13 JUN: Lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

Meski ada cadangan semakan jumlah cukai taksiran, pemilik hartanah boleh membuat bantahan kepada PBT masing-masing mengikut tarikh yang ditetapkan.

Tarikh akhir menghantar bantahan boleh disemak di portal atau media sosial pihak berkenaan. Tarikh bantahan juga dimuatkan dalam notis kepada pemilik.

MPKj sudah menguat kuasa semakan sejak 1 Januari tahun ini tetapi hanya mengenakan bayaran sebanyak 50 peratus daripada kadar kenaikan setiap pemilik. Bayaran kadar penuh akan dikuat kuasa pada tahun depan.

Tarikh akhir bantahan MPS dan MPAJ berakhir pada 31 Mei, sementara MBSJ belum menetapkan tarikh.

Tarikh bantahan di PBT lain seperti berikut: MBSA sebelum atau pada 14 Jun, MPKL (24 Jun), MPKS (1 Julai), MPHS (5 Julai), Majlis Bandaraya Diraja Klang (16 Julai) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (18 Julai).

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan kenaikan meski menerima notis itu, beliau berkata semakan tersebut bertujuan mengetahui nilai dan mutu perbandaran sesebuah kawasan.

Katanya, pentadbiran negeri juga akan meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kebenaran kepada PBT untuk membuat kenaikan ataupun sebaliknya.


Pengarang :