AGENDANASIONAL

Tidak tarik brek tangan, kereta mengundur dirempuh dua motosikal

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Gara-gara tidak menarik brek tangan, sebuah kereta mengundur sebelum dirempuh dua motosikal dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) di Balakong dekat sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian 8.20 pagi itu, pemandu berusia 34 tahun meletakkan keretanya dalam pekarangan sebuah pusat servis kenderaan di tepi lebuh raya tersebut.

“Kereta itu kemudiannya mengundur keluar (dari pusat servis) hingga ke jalan utama sebelum dirempuh dua motosikal pada bahagian kiri kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua penunggang motosikal terlibat dipercayai mengalami kecederaan namun setakat ini hanya seorang penunggang iaitu wanita berusia 31 tahun membuat laporan polis.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Peraturan 14 Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 14 LN 166/59) iaitu tidak mematikan enjin kenderaan atau tidak memasang brek semasa meninggalkan kenderaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Nor Shahidan di 012-3910630 bagi membantu siasatan.

Kejadian itu tular di media sosial dengan video berdurasi 51 saat menunjukkan kereta berwarna putih mengundur dalam keadaan pintu sebelah pemandu tidak ditutup sebelum dirempuh motosikal.

-BERNAMA


Pengarang :