Polis menemukan jenazah Zayn Rayyan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tiga individu termasuk bekas pengasuh Zayn Rayyan diambil keterangan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Tiga individu termasuk bekas pengasuh kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu Disember tahun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tindakan memanggil beberapa individu itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi melengkapkan siasatan.

“Kemungkinan akan panggil individu lain selepas ini, bergantung kepada hasil soal siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan polis merampas telefon bimbit ibu bapa Zayn Rayyan bagi siasatan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam siasatan.

Terdahulu, ibu bapa kepada kanak-kanak itu direman tujuh hari dari 1 hingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :