AGENDANASIONAL

Tiga maut kereta bertembung masuk laluan bertentangan

KUANTAN, 9 JUN: Dua beranak antara tiga maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM18 Jalan Jerantut-Maran petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, kereta jenis Perodua Bezza dinaiki tiga sekeluarga yang dalam perjalanan dari Jengka menghala ke Jerantut bertembung dengan kereta Perodua Myvi dari arah Jerantut menghala ke Felda Gelanggi 2.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi dipercayai secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Bezza,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata akibat kemalangan itu Nur Harina Fatihah Syaifol Bahari, 21, maut di lokasi kejadian manakala ibunya Norazlina Ismail, 44, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Pemandu Bezza, Syaifol Bahari Idris, 50, mengalami kecederaan di bahagian lutut dan badan.

Sementara pemandu Myvi, Suhaimi Abd Rahman, 42, juga meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA


Pengarang :