AGENDAJENAYAH

Tiga penunggang motosikal lakukan aksi meniarap ditahan

BUTTERWORTH, 1 JUN: Membuat aksi meniarap seperti ‘superman’ membawa padah kepada tiga lelaki apabila ditahan Polis Pulau Pinang dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini hari ini.

Polis Pulau Pinang dalam hantaran di Facebooknya memaklumkan tiga penunggang motosikal berusia 17 hingga 21 tahun itu ditahan dan kes mereka disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semasa operasi itu, pihak polis mendapati kumpulan motosikal tersebut melakukan aksi bersaing sesama sendiri, meniarap seperti ‘superman’, zig-zag dan melawan arus yang mana aksi itu membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Operasi itu dijalankan sepasukan polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Pulau Pinang dari 1 hingga 6 pagi tadi di kawasan kumpulan mat rempit atau samseng jalanan berlumba,” menurut hantaran tersebut.

Dalam operasi itu, polis turut menyita tiga motosikal mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengeluarkan 21 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya.

– BERNAMA


Pengarang :