Bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Foto arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Tiga warga Myanmar ditahan, kendali bot nelayan tempatan tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 27 JUN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan tiga lelaki warga Myanmar yang bekerja di atas bot nelayan tempatan kelas B1 tanpa kebenaran di perairan Tanjong Karang dekat sini pada 8.32 malam semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata nelayan asing itu ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan pada kedudukan 5.8 batu nautika barat daya muara Sungai Tengi oleh pasukan maritim yang melakukan rondaan di perairan tersebut.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua kru warga Myanmar berumur lingkungan 30 hingga 38 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tekong dan kru tidak mempunyai dokuman pengenalan diri yang sah selain bot beroperasi kurang daripada lapan batu nautika dari daratan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata semua kru bersama bot dan hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Menurutnya kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di zon larangan serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

— BERNAMA


Pengarang :