Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar ketika sidang media mengenai perkembangan Muhammad Faisal Abdul Halim yang cedera akibat disimbah asid di sebuah hospital swasta di Seksyen 14 Shah Alam pada 22 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Timbalan presiden FAS letak semua jawatan dalam FAM serta-merta

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar membuat keputusan mengejut dengan melepaskan kesemua jawatannya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa serta-merta.

Shahril yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran dan pengurus pasukan bawah 23 tahun telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada badan induk yang diketuai Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini.

Beliau turut menafikan peletakan jawatan itu berkait dengan keputusan Selangor FC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam saingan Liga Super 2024/2025 susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

“Saya dah maklumkan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pagi tadi, saya letak semua jawatan dalam FAM serta-merta, (namun) sebab peletakan jawatan, biarlah saya dengan FAM dan Hamidin (sahaja yang tahu).

“Tiada (kena mengena dengan mana-mana isu), saya memikirkannya sudah lama, bukan seminggu dua, elok fokus pada kelab dan FAS,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Skuad Gergasi Merah juga semalam diberitahu perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak, selain perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam bagaimanapun hari ini memaklumkan Selangor FC boleh mengemukakan rayuan kepada MFL dengan tempoh sehingga hujung minggu ini untuk menghantar surat rayuan rasmi kepada badan pengelola liga bola sepak tempatan tersebut.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan MFL serta FAM khususnya Hamidin berhubung denda dikenakan terhadap Selangor FC kerana ketidakhadiran pasukan itu ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lepas.

— BERNAMA


Pengarang :