BUDAYARENCANA

Tivi Rafah

Oleh Lokman Hakim

Tivi Rafah adalah tivi ajaib. Kami dapat liputan secara langsung mengenai insiden di Gaza dari ceruk kubu pejuang Briged Al-Aqsa yang tersorok hinggalah ke dalam kem tentera Israel yang cukup kami benci itu. Seolah-olah ada sekumpulan pasukan media khas dan halimunan sedang menyusup masuk ke medan perang merakam setiap inci landskap dan deritanya tanpa tapisan. Kata Kassim, ini suatu petanda bahawa kami dalam rumah itu dipilih Allah S.W.T. untuk menyampaikan apa yang tertera di Tivi Rafah kepada khalayak umum. Tanggungjawab menyebarkannya dan menyedarkan umat manusia mengenai kekejaman Zionis kini jatuh di tangan kami.

Hari ini, giliran Raul kena singkir. Kesalahannya: tidak ambil peduli siaran mengenai Rafah sebanyak tiga hari berturut-turut. Katanya, dia sibuk dengan kerja hakiki di pejabat. Tidak pernah berpeluang balik rumah untuk mengikuti siaran mengenai genosid di bumi Gaza sepertimana kami semua lakukan. Kami simpulkan Raul tidak berempati. Selaku Muslim, Raul tidak patut berbuat demikian. Dia harus meluangkan waktunya untuk duduk di hadapan Tivi Rafah yang kami letak di ruang tamu. Pernah sekali kami lihat Raul duduk tercatuk di hadapan Tivi Rafah sambil menatal video kucing comel di telefon bimbitnya – ia biadab! Tika rakyat Palestin menderita, tergamak pula Raul menikmati waktu senggangnya bersenang-lenang dengan kesibukan dunia fana yang melalaikan itu.

Usai penyingkiran Raul, kami melakukan solat sunat berjemaah memohon agar diberikan kekuatan untuk bertahan. Kamu patut tahu, ekonomi negara sedang mendesak. Raul hanya mangsanya. Dia juga didesak untuk tidak ambil peduli hal nasib rakyat Palestin yang saban hari kian terhimpit dek gasakan Zionis yang tiada perikemanusiaan itu. Kini tinggal tiga orang sahaja di rumah ini – di mana kami mengabdikan setiap waktu lapang kami untuk duduk tercatuk di hadapan Tivi Rafah, meratap dan menangis, berdoa dan menyalurkan serba sedikit simpanan kami ke dalam akaun para sukarelawan yang bertugas di bumi para syahid itu.

Sewa rumah makin mahal, pastilah begitu kerana dari sepuluh orang penyewa, kini tinggal tiga. Saya khuatir suatu masa nanti Tivi Rafah di ruang tamu akan terus diabaikan dek kerana desakan ekonomi yang mendesak kami persis Zionis membaham warga Palestin. Dalam diam, saya mula menghantar permohonan kerja di tempat baharu – yang menjanjikan pendapatan yang sedang-sedang untuk memungkinkan pembayaran bil-bil komitmen bulanan.

“Zakri, tutup phone tu,” tegas Ali menegur tika mendapati saya sedang menatal telefon bimbit tika Tivi Rafah sedang bersiaran. Saya sedang menghantar resume ke sebuah syarikat antarabangsa yang menjanjikan pendapatan lima angka sebulan. Ah, saya sendiri kini menjejaki langkah Raul dan mantan rakan-rakan serumah yang tidak ambil peduli Tivi Rafah. Saya beristighfar banyak-banyak sambil terus menyertai Ali dan Kassim menonton Tivi Rafah dan bersedih bersama-sama mereka.

Namun, semakin lama, dorongan untuk terus menonton Tivi Rafah kian kontang. Terlalu banyak perkara menuntut perhatian dan tindakan sehingga malam-malam saya tidak lagi lengang. Saya jarang berpeluang tidur di rumah. Kadangkala saya tertidur dalam kereta atau tempat kerja. Saya memikirkan Tivi Rafah yang kini ditonton Ali dan Kassim yang barangkali sedang berkira-kira mahu menyingkirkan saya.

Tapi lambat-laun Ali dan Kassim terpaksa juga meninggalkan rumah itu. Kedua-dua orang itu bukanlah berduit sangat. Culas juga dalam pembayaran sewa rumah dan juga bil-bil utiliti. Kerja mereka juga tidak menentu – banyak kali juga berhenti dan diberhentikan.

Lambat-laun, Tivi Rafah akan hilang rumahnya. Tiada lagi suara-suara melaung amarah terhadap pendudukan haram Zionis di bumi Gaza. Saya harus cari penyewa-penyewa baharu. Yang sudi meluangkan masa mereka menonton Tivi Rafah meski punya kekangan waktu. Iklan mencari penyewa-penyewa baharu saya keluarkan. Saya tidak tahu adakah Ali dan Kassim turut berbuat perkara yang sama. Mereka terlalu sibuk menonton Tivi Rafah dan beribadat. Terlalu mudah bertawakal dengan keadaan semasa. Adakah memikirkan kesinambungan Tivi Rafah terlalu sukar untuk mereka? Saya kebingungan.

“Untuk setiap orang yang pergi, kita harus dapatkan pengganti. Rumah ini perlu orang bekerja gaji besar untuk pastikan semua orang boleh duduk lama di sini,” cadanganku yang tidak begitu diterima Ali dan juga Kassim.

“Kau pasti yang akan masuk nanti bukan penyokong Israel? Ramai orang guna produk Israel tanpa sedar. Tengoklah phone kau sendiri. Jenama itu memang terang lagi bersuluh menyumbang keuntungannya ke negara haram tu!” keras Ali membantah. Memang Ali berteguh hati. Sungguh-sungguh boikot. Telefon bimbit pun dia tak pakai. Tivi Rafah di depan kami ini juga disemak jenama dan pengeluar setiap komponennya. Setelah diyakini tiada penglibatan dengan Israel, barulah model televisyen itu dibeli.

Saya menggeleng. Keluhan saya tika itu barangkali menjentik hati mereka berdua hingga tergamak mengeluarkan notis pengusiran terhadap saya pada keesokan harinya. Pada malam itu, kesemua barang-barang saya sudah dikemas mereka dan dilonggokkan di hadapan pintu.

Namun mereka enggan mendepani saya dan memberi penjelasan ke atas pengusiran saya. Saya duduk sebentar di hadapan ruang tamu menonton Tivi Rafah yang memaparkan statistik pembunuhan warga Palestin yang kini mencecah 33 ribu orang termasuk 14 ribu orang kanak-kanak. Ali dan Kassim tidak saya ketahui pergi ke mana, barangkali keluar makan malam atau menyorok di dalam bilik, tidaklah saya mahu tahu.

Saya lihat kantung bil-bil utiliti yang tertunggak dan pesanan ringkas daripada tuan rumah mengenai sewa rumah yang belum dibayar. Barangkali Tivi Rafah akan terus bersiaran, meski rumah ini bertukar penyewanya. Barangkali Tivi Rafah akan terus bersiaran, meski tiada penonton yang sibuk dengan kehidupan peribadi masing-masing.

 


Pengarang :