Kerja-kerja pemasangan meter pintar baharu di seluruh Selangor oleh AMI Distribution Network (DN) Selangor dan kontraktor lantikan Tenaga Nasional Berhad di Taman Setia Warisan Subang pada 14 Mac 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Turun kadar surcaj pengguna industri dorong harga barangan lebih rendah

BUTTERWORTH, 30 JUN: Penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) kepada pengguna komersial dan industri dijangka dapat menurunkan harga barangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pihak kerajaan bersetuju untuk menurunkan kadar surcaj ICPT kepada syarikat besar dengan maksud mereka dapat membantu dalam usaha mengurangkan harga barangan.

“Kita akan pantau adakah penurunan kadar elektrik ini akan membawa kesan penurunan harga barang,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan melaksanakan subsidi elektrik secara bersasar dengan syarat utama ia tidak akan menjejaskan kepentingan majoriti rakyat Malaysia.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan semalam mengumumkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung mulai 1 Julai hingga 31 Dis ini.

Kenyataan itu memaklumkan punurunan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala pengguna komersial dan industri juga akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT sebanyak 1 sen/kWj, bagi tempoh sama.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di The Light Hotel, di sini.

Anwar berkata mesyuarat yang berlangsung lebih kurang dua jam bermula pukul 5.50 petang itu, membincangkan isu-isu melibatkan orang Melayu dan bumiputera di Pulau Pinang, serta program yang boleh dianjurkan bagi membantu mereka.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri Rashidi Zinol.

– BERNAMA


Pengarang :