Penggunaan tenaga yang cekap amat penting dan boleh mengurangkan bil elektrik bulanan isi rumah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Turun kadar surcaj pengguna komersial, industri ringankan beban kos perniagaan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk pengguna komersial dan industri akan membantu perniagaan mengurangkan jangkaan kenaikan kos input berikutan rasionalisasi diesel dan kenaikan gaji, kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Presiden Datuk William Ng berkata persatuan itu mengalu-alukan pengumuman kerajaan mengenai pengurangan kadar surcaj ICPT itu bagi pelanggan bukan domestik sebanyak 1 sen/kilowatt jam (kWj) dari Julai hingga Disember 2024.

Bagaimanapun, Ng berkata ICPT harus digantikan dengan mekanisme yang lebih cekap dengan mengambil kira produktiviti pengeluar tenaga.

Ini kerana ICPT adalah langkah sementara untuk membantu pengeluar menguruskan turun naik harga bahan api global, bukan untuk menjamin keuntungan mereka.

“Ia juga mesti memastikan operasinya, termasuk jumlah pekerja dan perbelanjaan mengurus lain, menyokong agenda negara,” katanya kepada Bernama.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, surcaj ICPT untuk pengguna komersial dan industri akan dikurangkan daripada 17 sen/kWj kepada 16 sen/kWj pada separuh kedua 2024.

Bagi pengguna komersial dan industri voltan rendah, sektor pertanian khusus, dan operator air dan pembetungan, tarif akan turun daripada 3.7 sen/kWj kepada 2.7 sen/kWj.

Kementerian itu menyatakan subsidi elektrik yang disasarkan ditanggung kerajaan dari Julai hingga Disember 2024 berjumlah RM2.19 bilion.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai menggesa agar pengiraan surcaj lebih telus dan pengurangan 1 sen/kWj bagi pengguna bukan domestik.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula kelayakan perusahaan kecil dan sederhana di bawah kategori voltan sederhana bagi membolehkan mereka layak menerima kadar yang sama seperti yang diberikan kepada sektor perkhidmatan air.

“Industri terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar kerana ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi dan prospek inflasi pada 2024 kekal menjadi kebimbangan, berikutan kesan rasionalisasi subsidi dan konflik geopolitik yang berpanjangan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membentuk 98 peratus pertubuhan perniagaan di Malaysia dengan pekerja berjumlah 7.3 juta orang.

PMKS menyumbang 37.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, dan persekitaran surcaj yang tinggi boleh menjejaskan daya saing mereka dalam jangka panjang, katanya.

“Ketika kerajaan menyemak peraturan berasaskan insentif untuk tempoh kawal selia 4 dari 2025 hingga 2027, FMM berharap semakan tarif asas, sambil menangani ketidakpadanan struktur kos hasil untuk peralihan tenaga dan akses pihak ketiga, akan memastikan tarif perindustrian kadar kekal kompetitif dan menarik di rantau ini,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :