Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (tujuh dari kanan) ketika mengetuai delegasi Unisel ke China dari 18 hingga 25 Mei 2024. Foto Facebook Universiti Selangor
AGENSISELANGOR

Unisel meterai perjanjian, perkukuh kerjasama antarabangsa dengan IPT terkemuka China

SHAH ALAM, 2 JUN: Universiti Selangor (Unisel) memeterai perjanjian dengan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka China bagi memperkukuh kerjasama strategik pelbagai bidang di peringkat antarabangsa.

Pejabat Komunikasi Korporatnya memaklumkan antara bidang kerjasama yang bakal diteroka termasuk akademik, penyelidikan dan pemasaran.

Katanya antara IPT terlibat adalah Northwest University of Political Science and Law bagi pertukaran staf dan pelajar antara kedua-dua universiti.

Selain itu Guangxi College of Sports Education penghasil jaguh sukan Olimpik menawarkan kerjasama pengajian sukan dan Nanning Institute of Digital Science and Technology berkaitan teknologi automobil serta sains digital.

“Linxia Modern Vocational College dan Nanning Aihua School (AIHUA) akan menghantar staf dan pelajar melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana di Unisel.

“Xi’an Fanyi University, Lanzhou Jiaotong University dan Northwest Normal University pula akan membina jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu Presiden dan Naib Canselornya berkata kerjasama dimeterai dalam rangka lawatan delegasi Unisel diketuainya ke China baru-baru ini.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata peluang itu direbut dalam suasana hubungan padu antara Malaysia dengan China khususnya hubungan erat antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Xi Jinping.

“Lawatan tersebut juga adalah dalam semangat meraikan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini dengan institusi dilawati menunjukkan kesungguhan merealisasi pelbagai bentuk kerjasama.

“Dengan perkembangan infrastruktur yang sangat pesat dan pembinaan bandar raya mega di setiap wilayah, China kini bangkit sebagai pusat perdagangan dan perekonomian selain pusat pendidikan tinggi.

“Malaysia perlu mengambil iktibar daripada kemajuan tersebut dan merebut peluang yang ada dengan menjalin kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada negara,“ katanya.


Pengarang :