Pengusaha barangan plastik Maznah Mahmud menyusun barang di kedainya di Taman Gombak Ria, Gombak pada 26 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Usahawan wanita ligat jual barangan plastik, beli hotel dan spa

Asal menjual kuih dan kek, beralih kepada perniagaan barangan plastik membolehkan Maznah Mahmud meraih hasil sehingga memiliki perniagaan hotel dan spa di Taman Greenwood, Gombak.

Kejayaan wanita berumur 43 tahun itu berniaga plastik pembungkus makanan pelbagai jenis membuka mata banyak pihak sehingga beliau dinobatkan Usahawan Sukses Hijrah Selangor pada 2023.

Segalanya bermula pada 2017 semasa Maznah berniaga kuih donat dan kek batik. Beliau kerap ke Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur membeli peralatan niaga termasuk plastik sebagai bekas kuih jualan kerana harganya lebih murah.

Ketika itu, anak pesawah asal Alor Setar berniaga di gerai milik Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Gombak. Harga barang plastik di kawasan beliau berniaga mahal berbanding di Jalan Chow Kit.

Pengusaha barangan plastik Maznah Mahmud menyusun barang di kedainya di Taman Gombak Ria, Gombak pada 26 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menyedari peluang itu, Maznah menawar diri mengambil pesanan daripada beberapa rakan niaga berdekatan gerainya yang mahukan bekas plastik murah.

Strategi ibu empat anak itu membeli dan menyediakan perkhidmatan penghantaran bekas plastik ke gerai-gerai milik MPS menyebabkan perniagaan barang plastiknya mendapat sambutan.

“Dapat idea bila kita tengah bungkus, selalu tak cukup pek. Kena beli di kedai-kedai berdekatan tetapi mahal. Kalau mahu yang murah kena pergi Chow Kit, agak jauh sikit.

“Dapat idea dari situlah. Bila mahu pergi Chow Kit saya juga ambil tempahan dengan kawan-kawan berniaga. Saya belikan dan jual dengan mereka,” kata pemilik Kedai Barangan Plastik Permata ketika ditemui Selangorkini di Taman Gombak Ria, Batu Caves, 26 Februari lalu.

Keuntungan diperoleh menyebabkan Maznah tidak lagi berniaga kuih-muih sebaliknya berniaga barang plastik sepenuh masa, setahun kemudian.

Tahun sama juga Maznah mendapatkan bantuan pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dua kali sebanyak RM5,000 dan RM15,000 untuk perniagaan barangan plastiknya.

Menjelang PKP

Menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, beliau memindahkan operasi dari gerai MPS ke sebuah rumah sewa yang dijadikan stor.

Sekali lagi Maznah mendapatkan pembiayaan Hijrah sebanyak RM50,000 untuk mengembangkan perniagaan. Sepanjang PKP, plastik pembungkus makanan mendapat permintaan sangat tinggi hingga jualan mencecah lebih RM200,000 sebulan.

Apabila PKP berakhir, Maznah memindahkan pula operasi perniagaannya di lot kedai yang ada sekarang pada 2022.

Beliau membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk deposit dan membeli rak-rak di kedai baharunya. Selang beberapa bulan kemudian, Maznah membuka cawangan pertamanya di Raub, Pahang.

Langkah itu berhasil apabila pembukaan cawangan baharu di Raub menyebabkan jualannya meningkat sehingga RM300,000 sebulan.

Berikutan permintaan semakin meningkat, Maznah merasakan beliau harus bersedia untuk berpindah ke tempat baharu lebih luas pada masa depan.

Pengusaha barangan plastik Maznah Mahmud menyusun barang di kedainya di Taman Gombak Ria, Gombak pada 26 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Justeru, pada November 2022, pemegang sarjana muda teknologi maklumat dan pengurusan Universiti Terbuka Malaysia itu mengambil keputusan membeli bangunan hotel dan spa sebanyak 15 bilik dengan harga RM1.2 juta di Taman Greenwood, Gombak.

Niatnya membeli hotel dan spa itu sebenarnya untuk dijadikan kedai barangan plastik pada masa depan sekiranya perniagaan beliau semakin berkembang.

“Mula-mula saya hendak beli lot kedai tempat saya berniaga sekarang tetapi harganya terlalu mahal RM1.7 juta, tak mampu.

“Kebetulan saya dapat tahu hotel ini hendak dijual. Tiga tingkat dan lebih strategik, lot tepi lebih luas. Jadi saya beli dengan dapatkan pinjaman bank.

“Sekarang masih beroperasi sebagai hotel tetapi sebenarnya saya mahu jadikan kedai barang plastik. Kiranya untuk persediaan saya berpindah apabila pemilik kedai sekarang menjual kedai ini,” katanya.

Walau hotelnya itu tidak memberikan keuntungan sebanyak perniagaan barang plastik, namun Maznah masih mampu membayar kos dan meneruskan operasi.

 


Pengarang :