ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (dua, kiri) bersama penduduk menunjukkan penghadang bola yang dinaik taraf di Padang Awam, USJ 11, Subang Jaya pada 21 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Subang Jaya peruntuk lebih RM53,000 naik taraf kemudahan sukan

SUBANG JAYA, 21 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntuk RM53,648.50 bagi menaik taraf infrastruktur sukan di padang awam USJ11 dan gelanggang bola keranjang SS17.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata pihaknya memasang penghadang bola di dua kawasan itu bagi kemudahan dan keselamatan pengunjung beriadah.

“Saya menerima permohonan ini daripada komuniti ketika pilihan raya Ogos lalu yang memaklumkan perlunya penghadang bola kerana jarak antara padang dan laluan pejalan kaki agak dekat.

“Mengambil kira keperluan penduduk, saya tunaikan janji memasang penghadang bola berikutan kedua-dua kemudahan awam ini menjadi lokasi tumpuan beriadah pada pagi dan petang.

“Menggunakan peruntukan ahli dewan negeri, di padang awam USJ 11 kos pembinaan berjumlah RM19,591 manakala di gelanggang bola keranjang SS17 kos naik taraf RM34,057.50,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Shirley Chin,75, berterima kasih atas keprihatinan wakil rakyat memasang penghadang bola kerana beliau pernah terkena bola ketika sedang berjalan di padang awam berkenaan.

Penduduk Shirley Chin, 75, ditemui di Padang Awam, USJ 11, Subang Jaya pada 21 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sudah dua kali saya terkena bola di bahu pada awal tahun ini sehingga mengakibatkan skrin telefon bimbit retak kerana terjatuh.

“Dengan adanya penghadang bola ini keselamatan penduduk lebih terjamin selain mengelak bola terkena kereta yang diletakkan di kawasan berhampiran,” ujarnya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) SS17 Teh Eng Hock berkata dengan adanya penghadang bola itu keselamatan pengunjung khususnya kanak-kanak lebih terjamin.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) SS17 Teh Eng Hock bercakap kepada media berkenaan projek naik taraf di Padang Awam, USJ 11, Subang Jaya pada 21 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya selalu bawa anak-anak bermain di taman permainan tetapi khuatir keselamatan mereka kerana terletak bersebelahan dengan gelanggang bola keranjang.

“Dengan adanya kemudahan ini, penduduk tidak lagi risau dan berharap mereka menjaganya dengan baik,” katanya.

 


Pengarang :