Polis mengingatkan masyarakat untuk berwaspada ketika membuat pembelian melalui platform e-dagang dengan memastikan ia mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Warga emas rugi RM1.2 juta diperdaya tawaran skim simpanan tetap

JOHOR BAHRU, 7 JUN: Seorang lelaki warga emas kerugian RM1.2 juta selepas terpedaya dengan tawaran skim simpanan tetap dikenali sebagai “sharebooster” pada tahun 2020.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata mangsa, pengarah sebuah syarikat swasta berusia 62 tahun, telah ditawarkan oleh seorang kenalannya yang bertugas di institusi kewangan tempatan untuk menyertai skim yang dikendalikan oleh institusi berkenaan.

Beliau berkata individu itu menjanjikan dan meyakinkan mangsa bahawa skim tersebut memberikan pulangan yang lebih tinggi berbanding institusi kewangan lain.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah menyerahkan cek pembayaran berjumlah RM1.8 juta.

“Bagaimanapun, pada awal bulan ini, dia telah menghubungi suspek kerana ingin mengeluarkan faedah atas simpanan tersebut, namun suspek itu memberikan pelbagai alasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata mangsa yang berasa curiga telah membuat semakan dengan institusi kewangan berkenaan dan mendapati hanya RM600,000 sahaja daripada keseluruhan bayaran yang dibuat ada dalam akaun simpanan tetap miliknya.

“Hasil semakan lanjut, mangsa mendapati beberapa cek bayaran berjumlah RM1.2 juta yang diserahkan kepada suspek tidak didepositkan ke dalam akaun miliknya, sebaliknya ke lain-lain akaun atas penama yang tidak dikenali, sebelum dia bertindak membuat laporan polis pada Rabu (5 Jun),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :