Datin Paduka Noraini Roslan (depan) ketika meninjau operasi perniagaan di Kompleks Pasar Besar Meru pada 25 Jun 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBDK laksana sistem persekitaran selesa di Kompleks Pasar Besar Meru

KLANG, 25 JUN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melaksanakan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di Kompleks Pasar Besar Meru.

Datuk Bandarnya Datin Paduka Noraini Roslan berkata sistem yang julung kali di pasar awam itu membolehkan pengunjung membeli keperluan dalam persekitaran selesa.

“Dulu kita mempunyai konsep 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa Amal) tetapi tukar kepada EKSA yang diamalkan di pejabat kerajaan supaya persekitaran kerja lebih teratur, selamat dan sistematik.

“Kali ini, kita perluaskan ke pasar awam supaya infrastruktur kemudahan awam ini dapat ditambah baik menjadi persekitaran lebih selesa dan bertaraf ‘BMW’ iaitu ‘Bersih, Menawan dan Wangi’ seiring dengan status sebagai bandar raya,” katanya ketika majlis pelancaran di sini hari ini.

EKSA merupakan salah satu elemen penting bagi menggalak pegawai dan kakitangan memberi mutu perkhidmatan terbaik kepada orang awam serta meningkatkan budaya kerja berprestasi tinggi.

Noraini turut menyarankan peniaga di pasar awam beralih kepada pembayaran tanpa tunai (cashless payment) bagi memudahkan urusan perniagaan.

“Peniaga kena tingkatkan diri dengan menerima kaedah pembayaran baharu supaya institusi pasar terus kekal relevan dengan menggunakan teknologi terkini,” katanya.


Pengarang :