Penduduk perumahan Vista Seri Kiranau mengharungi banjir kilat yang melanda kawasan perumahan mereka berikutan hujan lebat pada 30 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

10 sekolah di Sabah tutup akibat banjir, jejas lebih 5,000 murid

KOTA KINABALU, 1 JULAI: Sebanyak 10 sekolah di empat daerah di Sabah ditutup selepas laluan dan kawasan sekolah berkenaan dinaiki air sejak malam tadi akibat banjir, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah Datuk Raisin Saidin.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan lebih 5,000 murid dan 307 guru terjejas melibatkan enam sekolah di Penampang, dua di Tuaran dan masing-masing satu di Papar dan Sipitang.

Raisin berkata di Penampang, sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sugut, Sekolah Menengah (SM) St Michael, SK St Theresa Inobong, SK Kibabaig, SK St Joseph dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min.

“Di Tuaran pula membabitkan SK Kauluan dan SJKC Chung Hwa, Tenghilan. SK Kelatuan di Papar dan SJKC Sin Boon Sindumin, Sipitang juga ditutup,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) katanya, turut mewujudkan kumpulan yang akan membantu membersihkan kawasan sekolah bersama Pejabat Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta badan bukan kerajaan (NGO).

“JPN Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi yang membantu dan berharap kerjasama ini akan berterusan,” katanya.

Banjir yang dipercayai berlaku akibat hujan lebat berterusan tengah hari semalam hingga malam tadi menyebabkan 112 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang dan dua mangsa berlindung di PPS Dewan Sri Putatan pagi tadi.

-BERNAMA

 


Pengarang :