Peserta program Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) di Dewan Auditorium, Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSISELANGOR

100 usahawan PLATS dibimbing, diberi pendedahan mengenai pensijilan halal

SHAH ALAM, 29 JULAI: Seramai 100 peserta menyertai program usahawan Platform Selangor (U-PLATS) Halal modul empat di Auditorium, Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Program dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang itu bertujuan memberi pendedahan dan bimbingan bagi mendapatkan pensijilan halal dalam kalangan usahawan PLATS.

Program dimulakan dengan ucapan Pengurus Besar Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali yang menerangkan U-PLATS.

“Tujuan utama program U-PLATS Halal ini untuk memberi penerangan dan kesedaran mengenai kepentingan pensijilan halal kepada usahawan PLATS menerusi enam modul.

“Usahawan diberi latihan kesedaran halal dan mereka yang terpilih dinilai bagi melihat sejauh mana tahap kesediaan mendapatkan sijil pengesahan halal Malaysia (SPHM),” kata Muhammad Syaril.

Pengurus Besar HIS Toyyiba Sdn Bhd
Muhammad Syaril Showkat Ali di Program U-PLATS Halal Modul 4 di Dewan Auditorium, Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 29 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Ia kemudian disusuli dengan Latihan Kesedaran Halal yang disampaikan Tenaga Pengajar Halal yang bernaung di bawah HIS Toyyiba Ahmad Nasron Mohamed Din.

Antara intipati disampaikan beliau adalah definisi halal, haram dan syubhah serta najis dan cara penyucian, syarat dan kriteria prosedur pensijilan halal Malaysia serta penilaian peserta untuk memohon sijil halal.

PLATS yang diperkenal susulan perintah kawalan pergerakan empat tahun lalu membantu golongan perusahaan kecil mikro sederhana untuk mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan.

HIS Toyyiba Sdn Bhd pula adalah inisiatif Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai negeri bertaraf global dalam industri halal selain berfungsi sebagai agensi peneraju kepada tiga inisiatif Pelan Tindakan Halal Selangor 2020-2030.


Pengarang :