Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melihat buku Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) selepas majlis penyerahan modul PTRS dan sumbangan dana pengurusan PIBG sekolah-sekolah daerah Hulu Langat di SMK Bandar Saujana Putra pada 31 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

130,000 pelajar terima manfaat tuisyen percuma, lancar aplikasi mudahkan akses 

KUALA LANGAT, 31 JULAI: Seramai 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima seluruh negeri menikmati Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang ditawarkan secara percuma tahun ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata program itu melibatkan pelajar dari lebih 230 sekolah dengan peruntukan RM10 juta berbanding RM7 juta tahun lalu.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap ketika majlis penyerahan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan sumbangan dana pengurusan PIBG sekolah-sekolah daerah Hulu Langat di SMK Bandar Saujana Putra pada 31 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“PTRS terbahagi kepada dua peringkat iaitu pelajar tingkatan empat dan lima dalam enam mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.

“Ada sekolah yang akan memulakan kelas PTRS secara fizikal minggu ini dan program ini secara rasminya akan bermula Ogos ini dengan majlis pelancaran bakal disempurnakan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) pada 13 Ogos,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Ditemui selepas majlis penyerahan Modul PTRS dan sumbangan dana pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah daerah Kuala Langat, Ahmad Azri menambah aplikasi mudah alih PTRS bakal dilancar bagi memudahkan akses bahan PTRS.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tiga kiri) menyerahkan sumbangan World Robot Olympiad International Final 2023 & World Robotics Competition Final 2023 ketika majlis penyerahan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan sumbangan dana pengurusan PIBG sekolah-sekolah daerah Hulu Langat di SMK Bandar Saujana Putra pada 31 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“PTRS akan diperluas dalam bentuk aplikasi mudah alih bagi memudahkan capaian yang akan turut dilancarkan Dato’ Menteri Besar pada 13 Ogos ini.

“Selain modul (dalam bentuk cetakan yang diedar di sekolah) modul PTRS juga boleh didapati dalam bentuk salinan lembut (soft copy) melalui portal PTRS,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra Azman Sharif memuji usaha Kerajaan Negeri membantu pelajar kurang berkemampuan untuk mengikuti tuisyen.

“Modul PTRS juga dibuat berdasarkan format soalan serta kaedah pemarkahan terkini Kementerian Pendidikan di peringkat SPM sekali gus menyediakan pelajar untuk menghadapi peperiksaan itu,” katanya.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bersama semua guru yabg menyertai majlis penyerahan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan sumbangan dana pengurusan PIBG sekolah-sekolah daerah Hulu Langat di SMK Bandar Saujana Putra pada 31 Julai 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

PTRS adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.

Program dilaksana Kerajaan Negeri itu juga antara faktor menyumbang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Selangor mencatatkan pencapaian lebih baik.

Sebelum ini Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan tambahan peruntukan RM3 juta untuk PTRS menjadikan jumlahnya RM10 juta berbanding RM7 juta tahun lalu.


Pengarang :