EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan di Dewan Kebudayaan Homestay Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 2 Julai 2024. Hadir sama ADN Tanjung Sepat Borhan Aman Shah (dua, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

200 nelayan terima bantuan kelengkapan tangkap ikan RM400,000

KUALA LANGAT, 2 JULAI: Seramai 200 nelayan negeri ini menikmati bantuan berjumlah RM400,000 menerusi program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan.

EXCO pertanian berkata insentif kelengkapan menangkap ikan RM2,000 setiap nelayan merangkumi pukat hanyut atau jaring, tong minyak, kotak ikan dan minyak pelincir.

Menurut Ir Izham Hashim, penerima melibatkan lima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, Kuala Langat, Pelabuhan Klang, Sungai Besar dan Kuala Selangor.

“Ini adalah kesinambungan bantuan berterusan untuk terus memperkasa nelayan di negeri ini yang diagihkan dari semasa ke semasa.

“Kita tengok keperluan semasa nelayan dan beri bantuan berdasarkan keperluan mereka. Ada juga bantuan peralatan lain seperti peranti sonar untuk mengesan lokasi ikan,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan simbolik penyerahan insentif itu di Dewan Kebudayaan Homestay Batu Laut di sini hari ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (tengah) bersama penerima sumbangan dalam Program Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan di Dewan Kebudayaan Homestay Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 2 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Izham berkata bantuan bersasar itu penting bagi memastikan nelayan dilengkapi peralatan terbaharu dan canggih sesuai keperluan semasa.

“Mereka ini bukan saja melaksanakan tugas mencari pendapatan untuk keluarga tetapi juga antara penyumbang sumber makanan untuk rakyat dalam memastikan keterjaminan makanan negeri dan negara.

“Tentu saja keperluan semasa mereka termasuklah pemasaran kita ambil perhatian serius termasuk menurunkan tukun di beberapa kawasan seperti Batu Laut dan Bagan Nakhoda Omar dengan kos sekurang-kurangnya RM350,000 untuk memastikan mereka dapat menjana pendapatan lebih baik,” katanya.

Pembangunan Agropreneur Selangor: Bantuan Nelayan merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang dilaksanakan bagi memperkukuh industri pertanian dan agro Selangor sehingga 2025.

PeTA antara lain sebagai garis panduan untuk memajukan sektor pertanian secara holistik dan sistematik dengan matlamat menjamin bekalan makanan dan meningkatkan pendapatan petani, penternak serta nelayan.


Pengarang :