Suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah dibawa ke parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 17 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

26 saksi dirakam keterangan bantu siasatan kes bunuh Nur Farah

HULU SELANGOR, 17 JULAI: Seramai 26 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang mayatnya ditemukan di Kampung Sri Kledang, di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata antara saksi yang dirakam keterangan mereka termasuklah rakan Allahyarham Nur Farah Kartini, rakan sekerja suspek dan saksi awam.

“Setakat ini kita percaya suspek yang ditahan merupakan suspek tunggal dalam kes ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pencarian bahan bukti di parit berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, di sini hari ini.

Beliau berkata operasi pencarian itu yang turut melibatkan Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik CSI berjaya menemukan satu telefon pintar dipercayai milik mangsa di dalam parit berkenaan.

“Pasukan pencarian berjaya menemukan satu telefon pintar dipercayai milik mangsa yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini.

“Operasi melibatkan K9 masih diteruskan di lokasi kejadian manakala Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik, mereka akan mencari di satu lagi lokasi di Perak, kira-kira 20 minit dari lokasi ini,” katanya yang enggan mendedahkan lokasi terbabit.

Mengenai motif kejadian, Hussein berkata seperti dimaklumkan sebelum ini, mangsa dan suspek mengenali antara satu sama lain tetapi sejauh mana hubungan itu pihaknya masih lagi menyiasat sebelum membuat kesimpulan motif sebenar pembunuhan.

Beliau turut memaklumkan reman suspek yang akan tamat Isnin ini kemungkinan disambung lagi dan suspek yang juga anggota polis kini ditahan kerja secara automatik.

Sementara itu, Hussein berkata laporan bedah siasat mangsa masih belum diperolehi dan pihaknya masih menunggu keputusan daripada pihak hospital dan makmal.

Mayat mangsa katanya, kini masih di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh Hussein dan beberapa prosedur perlu dilakukan termasuk ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan dilakukan oleh Jabatan Kimia berikutan pengecaman mayat yang tidak dapat dilakukan secara visual.

“Mayat mangsa akan diserahkan kepada keluarga bergantung kepada ujian DNA menerusi ibu dan adik-beradik mangsa yang akan dilakukan Jabatan Kimia.

“Saya rasa (mayat) tidak dapat dibawa keluar hari ini, mungkin mengambil masa beberapa hari lagi dan dalam masa sama kita akan meminta Jabatan Kimia percepatkan proses terbabit,” katanya.

Hussein sebelum ini memaklumkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang Rabu lalu ditemukan mati di ladang kelapa sawit tersebut pada petang Isnin.

Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan.

– BERNAMA


Pengarang :